Kes mengenai penderaan kanak-kanak jarang dicatatkan dalam rekod arkeologi. Salah satu sebab ahli arkeologi tidak mengambil serius tentang kanak-kanak adalah kerana mereka beranggapan bahawa kanak-kanak tidak dapat membantu mereka untuk mengetahui lebih banyak mengenai masa lalu.
Namun, ia berbeza ketika pengkaji menemui rangka kanak-kanak di Oasis Dakhleh, salah satu daripada tujuh oasis di gurun barat Mesir. Kawasan tersebut telah menjadi penempatan manusia sejak zaman Neolitik lagi. Oleh sebab itu ia menjadi sebuah kawasan tumpuan bagi kajian arkeologi, terutama sekali di kawasan tanah perkuburan.
Kellis adalah sebuah bandar yang terletak di kawasan Oasis Dakhleh. Di situ terdapat sebuah kawasan perkuburan lama yang dikatakan telah wujud sejak beribu-ribu tahun lampau. Tanah perkuburan itu memberi gambaran tentang amalan pengebumian mayat pada zaman dahulu. Sebagai contoh, masyarakat pada zaman itu telah mengasingkan tempat pengebumian mayat kanak-kanak dengan orang dewasa,di mana ia tidak diamalkan pada masa sekarang.
Di tanah perkuburan itu, ahli arkeologi telah menjumpai bukti penderaan fizikal terhadap kanak-kanak yang berumur di antara dua hingga tiga tahun. Menurut kata penyelidik, penemuan rangka kanak-kanak yang hidup dalam lingkungan 2000 tahun lalu, mewakili kes terawal yang didokumentasikan sebagai kes penderaan kanak-kanak dalam rekod arkeologi.
Semasa kajian dijalankan di kawasan perkuburan itu, para penyelidik telah menjumpai rangka kanak-kanak yang didera di sebuah kubur yang berlabel 519. Pada mula-mulanya tiada apa-apa yang luar biasa. Tetapi, apabila mereka mula menggali kubur itu, mereka lihat terdapat keretakan yang jelas pada tangan kanak-kanak itu.
Para penyelidik membuat keputusan untuk menjalankan satu siri ujian ke atas perkuburan 519 itu. Ia termasuklah ujian X-ray, histologi iaitu kajian mikroskopik tisu dan analisis isotop yang dapat menunjukkan perubahan metabolik pada tubuh kanak-kanak itu.
Hasil kajian yang dibuat mendapati terdapat beberapa keretakan pada tulang di seluruh badan iaitu di kawasan seperti humerus(lengan), tulang rusuk, pinggul dan bahagian belakang.
Kata Sandra Wheeler, ketua penyelidik Bioarkeologi dari Universiti Central Florida, apa yang menarik, pada badan kanak-kanak tersebut terdapat keretakan yang sama seperti di bahagian atas lengan. Keretakan teruk itu telah menyebabkan keseluruhan tulang kanak-kanak itu rosak.
Jika kita selami sifat lahiriah seorang kanak-kanak, sebenarnya tulang mereka lebih fleksibel jika hendak dibandingkan dengan tulang orang dewasa. Ini menunjukkan keretakan tulang lengan kanak-kanak itu berlaku disebabkan kekerasan.
Selepas membandingkan kecederaan tersebut dengan kajian klinikal, para penyelidik menyimpulkan bahawa seseorang telah menyentap dan menggoncang lengan kanak-kanak itu dengan ganas. Selain daripada gegaran,keretakan lain mungkin juga berlaku disebabkan beberapa kecederaan yang berlaku pada tulang rusuk dan tulang belakang akibat daripada pukulan tepat di bahagian tersebut.
Namun begitu, ahli-ahli arkeologi masih belum dapat mengenal pasti punca utama yang menyebabkan anak kecil itu mati. Menurut kata Wheeler lagi, berkemungkinan kematian kanak-kanak itu disebabkan oleh patah tulang selangka.
Daripada 158 remaja yang digali dari perkuburan Kellis 2,tanah perkuburan yang berlabel 519 adalah satu-satunya yang menunjukkan tanda-tanda trauma yang tidak disengajakan dan berlaku secara berulang.
Hal ini membuktikan bahawa penderaan kanak-kanak bukanlah sesuatu perkara biasa yang berlaku pada masyarakat Mesir ketika itu. Ini kerana hanya di tanah perkuburan itu sahaja yang menunjukkan berlakunya trauma yang tidak disengajakan. Manakala di tanah perkuburan lain, ia adalah normal.
Keunikan kes ini menyokong kepada kepercayaan bahawa anak-anak adalah sebahagian penting daripada masyarakat Mesir Purba. Menurut Wheeler, orang-orang Mesir benar-benar dihormati oleh anak-anak mereka, tetapi kita tidak tahu sejauh mana pula pengaruh Roman telah dibawa masuk ke dalam masyarakat Mesir.
Kes unik mengenai penderaan kanak-kanak itu mungkin berlaku kerana pengaruh Rom yang dibawa masuk ke Mesir. Walaupun orang-orang Rom amat menyayangi anak-anak mereka, mereka percaya bahawa anak-anak dilahirkan dalam keadaan lemah-lembut. Maka, adalah kewajipan ibu bapa untuk membentuk mereka menjadi orang dewasa.
Mereka mengamalkan hukuman seperti sebatan, meletakkan bayi yang baru dilahirkan pada sekeping papan kayu bagi memastikan pembesaran yang betul serta memandikan mereka dengan air sejuk. Semua itu bertujuan untuk mendidik anak mereka menjadi individu yang gagah, berani serta tidak manja.
Menurut Wheeler lagi, jika kita kembali ke zaman pertengahan atau selepasnya, kita dapat mengesan beberapa kes penderaan lagi telah berlaku di Perancis, Peru dan juga United Kingdom.