Edited by tatod at 6-4-2025 08:33 AM
Ipoh: Polis mengesahkan pemandu kenderaan pacuan empat roda warna merah yang tular selepas dirakam menggilis wanita yang maut bersama anak kecilnya, dalam nahas berdekatan Terowong Menora, di sini pada 30 Mac lalu sudah tampil.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, keterangan individu itu sudah dirakam yang justeru itu isu mengenai pemandu kenderaan terbabit yang sebelum ini dikatakan terpalit kes langgar lari, dianggap selesai.
"Isu terbabit (langgar lari) selesai. Pemandu kenderaan itu sudah tampil membuat laporan polis, serta keterangannya sudah dirakam," katanya ketika dihubungi malam ini.
Semalam, Noor Hisam ketika ditanya sama ada siasatan dan klasifikasi kes pacuan empat roda yang melanggar mangsa nahas itu sebagai langgar lari, beliau berkata siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Katanya lagi, berkata pemandu kereta Perodua Bezza iaitu suami kepada wanita yang maut dalam kemalangan itu kini menghadapi kesukaran untuk memberi keterangan susulan masih trauma selain kesan kecederaan di mulut.
Menurutnya, lelaki itu mendapat 15 jahitan di dalam mulut susulan kecederaan dalam nahas mengorbankan isteri serta anaknya itu.
"Pemandu dimaklumkan masih lagi trauma sukar untuk memberi keterangan kerana terdapat 15 jahitan di dalam mulut.
"Kini dia tinggal bersama keluarganya di Tanjung Malim," katanya.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad menerusi kenyataan malam ini berkata, pemandu pacuan empat roda terbabit direkod keterangannya pada semalam (Jumaat).
Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi menilai pembabitan kenderaan pacuan empat roda itu dalam kejadian kemalangan yang berlaku di KM264.7 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah Selatan, di sini itu.
"Kita juga sudah menerima laporan dibuat ahli keluarga mangsa pada 10.42 malam semalam (Jumaat) berkaitan kehilangan barang kemas milik mangsa. Kes berkenaan kini dalam siasatan.
"Siasatan diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Pelbagai sudut termasuk laporan forensik, keterangan saksi, dan rakaman kamera papan pemuka kenderaan (dashcam) sedang dianalisis untuk mendapatkan gambaran sebenar kejadian," katanya.
Semalam, Harian Metro melaporkan Nur Fatihah Badrul Hisyam, 26, bersama anak kecilnya berusia dua tahun, Naira Falisya Abdul Rahman, maut dalam kemalangan tragis dekat Terowong Menora pada 30 Mac lalu ketika mereka dalam perjalanan ke Tanjung Malim dari kampung halaman Nur Fatihah di Kedah.
Nur Fatihah yang disahkan meninggal dunia sehari selepas kejadian dilaporkan mengandung lapan bulan, dengan bayi dalam kandungannya gagal diselamatkan manakala suaminya, Abdul Rahman Abdul Rahim, 29, terselamat namun cedera parah. - Harian Metro
|