AKTIVITI memanjat tembok tiruan antara sukan lasak yang bukan sahaja memerlukan kekuatan fizikal dan mental yang tinggi malah menuntut teknik serta daya tahan yang tinggi pendakinya.
Jika dahulu, sukan ini dilihat lebih didominasi lelaki namun kini ramai wanita mula terbabit secara serius sehingga mampu bersaing ke luar negara.
Dalam sukan lasak ini, Wan Athirah Hidayah Ahmad Fuzli, 28, atau lebih mesra disapa Tia antara nama yang sering meniti di bibir peminat aktiviti berkenaan kerana berjaya meraih banyak kejayaan besar di dalam mahu pun luar negara.
Sepanjang berkecimpung dalam sukan lasak itu, banyak pencapaian besar yang diraih termasuk pernah menjadi juara kebangsaan bagi kategori 'Speed Climbing' selama tiga tahun berturut-turut dalam Sukan Kebangsaan Malaysia sejak 2019.
Malah dia juga menyertai banyak pertandingan besar termasuk kejohanan Kelayakan Olimpik Asia 2023 di Jakarta, Indonesia bersaing dengan atlet ternama dari Jepun, Korea dan China.
Bukan setakat sukan mendaki, Tia juga pernah mewakili Malaysia dalam Sukan SEA Kemboja 2023 untuk sukan larian berhalangan dan meraih pingat gangsa dalam kategori individu dan berpasukan wanita.
Biarpun mempunyai pekerjaan hakiki dalam bidang kewangan ia tidak menjadi penghalang kepada Tia untuk menceburi sukan lasak ini secara serius. Selain atlet, Tia pernah menjadi jurulatih mendaki secara sambilan dan 'route setter' dalam komuniti memanjat.
Siapa sangka, pembabitannya dalam aktiviti lasak ini mempertemukan Tia dengan suaminya, Muhammad Nurjafni Jamaludin, 28, yang turut bergiat aktif dengan sukan ini sehingga ke jinjang pelamin.
Tia berkata, dia mula terbabit dengan aktiviti sukan lasak itu ketika masih menuntut di Universiti Multimedia (MMU) Cyberjaya.
"Saya bermula dengan menyertai program pengenalan sukan memanjat yang dianjurkan oleh kelab rekreasi OARs dan sejak itu saya terbabit dalam latihan mingguan.
"Minat terhadap sukan ini semakin mendalam apabila menyertai pertandingan memanjat. MMU turut membiayai penyertaan saya dalam beberapa pertandingan di Singapura seperti SMU Gravical dan NUS Boulderactive, di mana saya berjaya meraih tempat pertama dalam kategori 'Novice' (SMU Gravical 2019) dan tempat kedua dalam kategori 'Intermediate' (Boulderactive 2022)," katanya.
Menurutnya, keseronokan sukan memanjat adalah ia membabitkan banyak penyelesaian masalah kerana setiap laluan atau 'route' mempunyai tahap kesukaran yang berbeza.
"Sebagai contoh, untuk disiplin bouldering (memanjat dinding setinggi empat meter tidak menggunakan tali keselamatan, tetapi terdapat 'crash pad' atau tilam yang tebal di bawah untuk mengurangkan risiko kecederaan jika terjatuh), pergerakan sering kali singkat tetapi lebih intensif, menuntut kekuatan otot, daya tahan dan strategi.
"Pendaki akan memperoleh kepuasan yang sangat bermakna apabila berjaya menyelesaikan sesuatu laluan terutama apabila memerlukan pelbagai percubaan," katanya.
Katanya, untuk terbabit dalam sukan ini, seseorang itu perlu mempunyai sifat tidak mudah berputus asa kerana setiap laluan yang mencabar menuntut pendaki melakukan banyak percubaan.
"Tahap kesukaran yang berlainan ini hanya dapat diatasi jika seseorang itu tidak berputus asa.
"Disiplin dalam latihan juga sangat penting dan mencuba laluan yang berlainan tahap kesukaran untuk menguji kemampuan diri." katanya.
Berkongsi lanjut, dia sendiri menjalani rutin latihan fizikal yang ketat seperti latihan jari dengan bergantung selama tujuh saat dalam enam set.
"Saya juga melakukan 'pull-ups' dan latihan menguatkan perut serta bahagian atas badan. Dari segi mental, saya banyak melakukan visualisasi dan simulasi pertandingan," katanya.
Katanya, sebelum terbabit, dia mempunyai tanggapan bahawa sukan ini memerlukan tahap kekuatan fizikal yang tinggi sehingga memberi kesukaran kepada wanita.
"Bagaimanapun, selepas menceburi sukan ini, sebenarnya ia tidak hanya memerlukan kekuatan fizikal yang luar biasa semata-mata, sebaliknya turut membabitkan lebih kepada teknik dan daya tahan seseorang.
"Saya berharap dapat melihat lebih ramai wanita menceburi sukan ini. Walaupun kelihatan mencabar, sukan memanjat sebenarnya sesuai untuk semua peringkat umur dan jantina.
"Ramai pemanjat wanita di Malaysia kini yang berpotensi besar, dan saya berharap mereka akan mendapat sokongan yang lebih baik untuk berkembang ke peringkat yang lebih tinggi," katanya.
Tidak dinafikan, sukan lasak mempunyai risiko untuk menyebabkan kecederaan dan biarpun berpengalaman Tia tidak terkecuali daripada melalui pengalaman itu.
"Pada tahun pertama terbabit dalam sukan ini, saya pernah mengalami patah buku lali (open fracture).
"Insiden itu berlaku ketika saya melakukan gerakan 'dyno' dan gagal mendarat dengan betul. Namun, saya pulih selepas tiga bulan dan terus menyertai pertandingan intervarsity, di mana saya menang tempat pertama," katanya.
Katanya, sukan berkenaan banyak membantu membentuk dirinya menjadi seorang individu yang lebih baik dalam berdepan pelbagai cabaran yang mendatang.
"Sukan ini menjadikan saya seorang yang sentiasa berdisiplin. Latihan mental dan fizikal yang berterusan turut membantu membentuk peribadi yang lebih baik serta fokus dalam kehidupan," katanya.
Ditanya perancangan masa hadapan, Tia ingin terus menyertai sebanyak mungkin pertandingan, baik di dalam mahupun di luar negara.
"Baru-baru ini saya meraih tempat kelima dalam pertandingan National Boulder Series Malaysia 2025 sekali gus tidak terpilih untuk mewakili Malaysia untuk pergi ke Piala Dunia tahun ini.
"Bagaimanapun keputusan itu tidak mematahkan semangat malah memberi dorongan untuk meningkatkan kemampuan diri supaya terus memberikan yang terbaik dalam setiap pertandingan dan berlatih dengan lebih fokus untuk mengelakkan kecederaan," katanya. - Harian Metro
|