BUNYI 'letupan' ikan menghempas di permukaan air sungai ketika menyambar umpan adalah sensasi yang dinantikan kaki pancing ikan air tawar.
Ini kerana ia membuatkan pemancing ketagih dan tidak mahu meninggalkan dunia 'hanyir' itu.
Begitu juga dengan kaki pancing, Mohd Fariezan Ab Wahab,37, yang aktif memburu ikan sebarau, toman dan haruan di empangan Felda Selendang, Kuala Rompin, Pahang sejak 2016.
Menurutnya, tiga spesies itu adalah ikan pemangsa yang ganas dan suka melawan apabila tersangkut umpan untuk melepaskan diri.
"Saya menangkap ikan ini menggunakan teknik 'casting' (teknik mengilat) iaitu satu kaedah memancing dengan membuat lontaran umpan palsu atau gewang ke sasaran.
"Kemudian mengarau kembali tanpa perlu menunggu umpan jatuh ke dasar sungai atau diragut ikan.
"Ikan ini akan menyambar umpan dan kedengaran bunyi 'letupan' kerana menghempas di permukaan air sungai untuk melepaskan diri.
"Lagi kuat bunyi 'letupan' itu adalah lebih menyeronokkan dan puas," katanya.
Biasanya dia mengambil masa tiga hingga lima minit untuk menewaskan ikan berkenaan sebelum ditarik ke daratan.
"Aktiviti memancing menuntut kesabaran dan hanya boleh menarik ikan ke daratan selepas keadaannya lemah bagi mengelakkan rod patah atau ikan terlepas.
"Di antara tiga jenis ikan ini, subarau paling sukar ditangkap kerana lubuknya di kawasan sungai yang aliran airnya deras terutama selepas banjir.
"Kejayaan menangkap ikan subarau umpama rezeki tidak dijangka dan berasa puas," katanya.
Mohd Fariezan berkata, ikan toman paling besar pernah ditangkap ialah seberat tujuh kilogram.
"Uniknya ikan toman ialah boleh bertukar warna mengikut keadaan dirinya.
"Setiap hari, saya memancing selama dua jam bermula pada 10 pagi hingga 12 tengah hari kerana itu waktu aktif ikan," katanya yang memiliki rod.
Katanya, di sebalik keberanian meredah hutan di empangan, dia turut berhadapan dengan cabaran yang hampir meragut nyawa.
"Kawasan empangan ini besar dan ada sungai dan hutan.
"Saya suka menggunakan umpan tiruan yang berbunyi, tetapi menarik perhatian haiwan lain iaitu ular tedung selar," katanya. - Harian Metro
|