Pandu lawan arus, pemandu kereta disaman selepas video tular
Oleh Zuhainy Zulkiffli - Mac 27, 2025 @ 2:00pm

Tangkap layar tular memaparkan sebuah kereta dipandu secara lawan arus di Jalan Masjid Negeri, di sini. NSTP/ FOTO TULAR
GEORGETOWN: Polis mengeluarkan saman terhadap pemandu kereta selepas video yang memaparkan pemanduannya secara lawan arus, tular di media sosial.
Video yang berdurasi selama 31 saat itu dirakam menerusi kamera papan pemuka (dashcam) sebuah kenderaan.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, terdahulu video berkenaan dikesan pihaknya semalam di aplikasi X.
"Kejadian didapati berlaku jam 10.50 malam pada Ahad lalu di Jalan Masjid Negeri, di sini.
"Didapati sebuah kereta dirakam dipandu secara melawan arus di laluan berkenaan," katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Mengulas lanjut Abdul Rozak berkata, siasatan mendapati kereta berkenaan didaftarkan atas nama wanita warga tempatan berusia 32 tahun yang berasal dari Nilai, Negeri Sembilan dan semasa kejadian, kereta terbabit dipandu suaminya.
"Dia mendakwa baharu sahaja bekerja di Pulau Pinang dan tidak mahir dengan jalanraya di sini.
"Semasa kejadian, pemandu itu tidak sengaja masuk ke laluan bertentangan di Jalan Masjid Negeri," katanya lagi.
Menurut Abdul Rozak, tindakan saman trafik sudah diambil terhadap pemandu kereta itu mengikut Peraturan 6(1) Kaedah-kaedah Lalu Lintas Jalan 1959.
"Sehubungan itu, pengguna jalan raya dinasihati supaya merancang perjalanan menggunakan aplikasi navigasi dalam talian ketika memandu bagi mengelak kesilapan di jalan raya hingga mendatangkan bahaya kepada pengguna lain," katanya.
https://www.bharian.com.my/berita/kes/2025/03/1377651/pandu-lawan-arus-pemandu-kereta-disaman-selepas-video-tular
|