CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 192|Reply: 0

Elak kecederaan otak traumatik di musim perayaan

[Copy link]
Post time 26-3-2025 07:07 PM | Show all posts |Read mode

MENJELANG musim cuti perayaan yang semakin hampir, pasti banyak keluarga sudah merancang perjalanan dinanti-nantikan untuk meluangkan masa berkualiti bersama.

Apa yang membimbangkan, pertambahan jumlah pengguna jalan raya menyebabkan kemalangan jalan raya juga meningkat.

Akibatnya, ada mangsa kemalangan berpotensi mengalami kecederaan otak traumatik (KOT).

Menurut Pangkalan Data Trauma Malaysia Kebangsaan, hampir 80 peratus kes trauma berpunca daripada kemalangan jalan raya dengan 64 peratus kejadian membabitkan KOT dan antaranya berpunca daripada tidak memakai tali pinggang keledar dan topi keledar bagi penunggang motosikal.

Perunding pakar bedah saraf di Pusat Perubatan Sunway (SMC) , Bandar Sunway Dr Johan Quah Boon Leong, berkata keadaan ini semakin membimbangkan apabila kadar kemalangan jalan raya di Malaysia melonjak kepada 545,585 pada 2022 berbanding 370,000 pada 2021 dan terus meningkat kepada 598,635 pada 2023.

Perunding Pakar Bedah Saraf di Pusat Perubatan Sunway (SMC) , Bandar Sunway Dr Johan Quah Boon Leong.


"Berdasarkan pengalaman saya, punca utama KOT ialah tidak memakai tali pinggang keledar dan menunggang motosikal tanpa topi keledar.

"Kemalangan yang berlaku pada kelajuan 20 kilometer sejam (km/h) ke atas motosikal atau kereta yang tidak menggunakan tali pinggang keledar juga boleh mengakibatkan kecederaan.

"Ia tidak hanya mengenai kelajuan, tetapi mengenai perlindungan yang tidak mencukupi," katanya.

Beliau berkata, langkah pencegahan seperti pemakaian topi keledar, tali pinggang keledar dan pemanduan berhemah dapat menurunkan kadar kemalangan jalan raya sekali gus mengurangkan risiko KOT.

Namun ramai mengabaikan langkah itu hingga menjadi punca utama kematian dan hilang upaya di seluruh dunia dengan menjejaskan lebih 69 juta orang setiap tahun.

"Asia Tenggara terutamanya, menyumbang kepada 56 peratus daripada kes global berbanding hanya 25 peratus di Amerika Utara. Menurut Laporan Rawatan Rapi Malaysia pada 2017, kecederaan kepala adalah antara sebab utama kemasukan pesakit ke unit rawatan rapi, berjumlah 7.1 peratus," katanya.

Dr Johan berkata, KOT boleh dibahagikan kepada KOT terbuka iaitu objek asing seperti peluru atau serpihan menembusi tulang tengkorak dan KOT tertutup yang berlaku apabila daya luar menyebabkan otak terhentak atau bergerak di dalam rongga tengkorak tanpa melibatkan penembusan pada tulang tengkorak.

"KOT boleh dihidapi oleh sesiapa sahaja tanpa mengira umur. Terjatuh, kemalangan jalan raya, kecederaan sukan dan hentakan daripada objek merupakan antara sebab utama ia terjadi.

"Data menunjukkan KOT paling lazim berlaku dalam kalangan anak muda yang menunggang motosikal dan kanak-kanak. Mereka adalah golongan berisiko tinggi," katanya.

Tidak hanya menyebabkan trauma fizikal serta-merta, beliau berkata, KOT juga memberi kesan jangka panjang kepada pesakitnya kerana mereka mungkin mengalami hilang ingatan, kesukaran untuk fokus, perubahan personaliti, kemurungan, keresahan, perubahan mood, sakit kepala kronik dan pening.

"Kes KOT yang teruk pula boleh membawa kepada ensefalopati traumatik kronik (CTE) dan demensia pascatrauma (PTD), sekali gus menjejaskan lagi fungsi kognitif dan motor.

"Keadaan ini lama-kelamaan akan mempengaruhi kehidupan seharian, menjejaskan pekerjaan, perhubungan, serta memerlukan sokongan perubatan dan psikologi berpanjangan," katanya.

Menurut Dr Johan, KOT boleh berlaku dalam pelbagai peringkat, daripada ringan hingga serius.

Tahap keterukan KOT ditentukan menggunakan Skala Koma Glasgow yang mengukur tahap kecederaan berdasarkan keupayaan seseorang untuk mengikuti arahan, pergerakan mata, dan pertuturan jelas.

"KOT ringan seperti konkusi otak, biasanya dirawat dengan pemantauan simptom, berehat, dan ubat untuk melegakan kesakitan atau loya. KOT sederhana hingga berat pula mungkin memerlukan pembedahan segera untuk mengurangkan tekanan.

"Bagi KOT sederhana atau parah mungkin memerlukan pembedahan dengan segera, penjagaan rapi dan ubat-ubatan untuk mengurangkan pengumpulan cecair di dalam otak, mencegah sawan dan membantu proses pemulihan," katanya.

Beliau berkata, kajian menunjukkan 75 peratus pesakit KOT sederhana hingga parah yang menjalani rehabilitasi neurologi rapi selama 12 bulan dapat mencapai tahap kefungsian baik.

INFO:

Kecederaan otak traumatik (KOT)

- Ia adalah kecederaan yang kompleks dengan gejala dan kekurangan upaya yang pelbagai.

- KOT memberi kesan yang mendalam ke atas individu yang terbabit dan ahli keluarganya.

Gejala kecederaan otak traumatik ringan termasuk:

1. Gejala fizikal

- Mual atau muntah.

- Masalah dengan pertuturan.

- Sakit kepala.

- Mengantuk atau keletihan.

- Pening.

2. Gejala deria

- Sensitiviti kepada bunyi atau cahaya.

- Masalah deria seperti telinga berdengung.

- Rasa tidak enak di mulut.

- Penglihatan kabur.

- Perubahan dalam keupayaan untuk bau.

3. Gejala kognitif, tingkah laku atau mental

- Keadaan keliru, terpinga-pinga atau keliru tetapi tidak kehilangan kesedaran.

- Hilang kesedaran selama beberapa saat hingga beberapa minit.

- Penumpuan atau masalah ingatan.

- Perubahan mood atau perubahan mood.

- Perasaan cemas atau tertekan.

- Tidur lebih daripada biasa.

- Kesukaran tidur.

- BH Online

This post contains more resources

You have to Login for download or view attachment(s). No Account? Register

x
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

Category: Kesihatan


ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

11-4-2025 01:04 AM GMT+8 , Processed in 0.058202 second(s), 14 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list