Lokman kerap tunai solat subuh di masjid, mungkin petanda akan pergi selamanya - Bapa
Oleh Zuliaty Zulkiffli - Mac 26, 2025 @ 5:01pmbhnews@bh.com.my

Allahyarham Lokman Hakim bersama isteri yang maut dalam kemalangan, semalam. - Foto ihsan keluarga
SIK: "Saya melihat Lokman kerap menunaikan solat subuh berjemaah di masjid sejak dua minggu kebelakangan ini sekiranya cuti. Mungkin itu petanda dia akan pergi buat selama-lamanya."
Demikian dikongsikan Mohd Shukri Saad, 56, bapa kepada Lokman Hakim Mohd Shukri, 23, yang maut dalam kemalangan bersama isterinya, Intan Suraya Zaidi, 24, di Jalan Felda Teloi Timur, Kampung Merbau Kudung, di sini, semalam.
Pada mulanya, Mohd Shukri berkata, perkara itu dianggap biasa memandangkan umat Islam sedang berlumba-lumba melakukan ibadah sepanjang Ramadan ini.
"Memang nampak perbezaan apabila arwah kerap menunaikan solat subuh di masjid sejak dua minggu ini.
"Malah, arwah juga banyak mendiamkan diri berbanding seorang yang ceria sebelum ini," katanya ketika ditemui pemberita di Tanah Perkuburan Islam Kampung Charuk Pelanduk, di sini, hari ini.
Beliau berkata, kehilangan anak kedua daripada empat beradik itu bersama menantunya menjelang Aidilfitri, tidak lama lagi, cukup dirasai.
"Ini adalah sambutan Aidilfitri pertama mereka sebagai suami isteri sejak berkahwin Jun tahun lalu.
"Semua persiapan raya juga sudah dilakukan arwah bersama isteri, termasuk menyiapkan baju raya untuk keluarga," katanya.
Dalam kemalangan petang semalam, pasangan suami isteri itu terkorban apabila Perodua Myvi dinaiki mereka dipercayai hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan dan bertembung sebuah lori.
Perlanggaran itu menyebabkan kedua-dua mangsa tersepit dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh kakitangan Kementerian Kesihatan (KKM).
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2025/03/1377327/lokman-kerap-tunai-solat-subuh-di-masjid-mungkin-petanda-akan-pergi
|