Edited by sfhzuraz at 26-3-2025 03:33 PM
Pasangan suami isteri maut, persiapan raya jadi kenangan
SITI ZUBAIDAH ZAKARAYA
26 Mac 2025 02:22pm

Rokiah (tengah) bersama Iman Firdaus dan Syazwani (kanan) menunjukkan gambar kenangan Intan dan Lokman yang meninggal dunia akibat kemalangan. Gambar kecil: Intan Suraya dan Lokman Hakim
SIK - Pasangan suami isteri maut dalam kemalangan di Kampung Merbau Kudung, Jalan Teloi Timur di sini pada Selasa, dikatakan telah membeli semua kelengkapan hari raya untuk keluarga mereka.
Mangsa, Intan Suraya Zaidi, 24, dan suami, Lokman Hakim Mohd Shukri, 23, dipercayai telah selesai membeli pakaian dan menyiapkan juadah hari raya kira-kira dua hari sebelum kejadian.
Nenek Intan, Rokiah Shaari, 66, berkata, semua kelengkapan telah dibeli oleh cucu sulungnya itu, seolah-olah sebagai petanda akan pergi buat selama-lamanya.
"Intan beli kuih raya untuk makcik dan adik-beradik dia semua... termasuk persiapan untuk anak angkat, Syazwani Abd Rahman, 12. Kuih raya, baju raya, tukar duit raya siap... semua dia buat... dia kata nak habiskan duit raya kali ini.
"Mereka cucu yang baik... memang terasa kehilangan sebab rapat sangat dengan Intan, sejak umur 41 hari dia duduk dengan saya (saya pelihara)," katanya sebak ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Kampung Charuk Pelanduk, di sini pada Rabu.

Jenazah Intan Suraya dan Lokman Hakim tiba di Tanah Perkuburan Islam Kampung Charuk Pelanduk kira-kira jam 11.30 pagi untuk disembahyangkan sebelum dikebumikan dalam satu liang lahad.
Menurutnya, Intan juga telah mengecat bilik tidur mereka dengan cantik dan berjanji akan menyerahkan bilik tersebut kepada adiknya, Iman Firdaus, 10, selepas ini.
Dalam masa sama, Intan berjanji tidak akan mengabaikan neneknya dan akan sentiasa menjaganya. Bagaimanapun, Rokiah tidak menyangka menerima khabar cucunya itu, yang baru berkahwin pada Jun tahun lalu, telah meninggal dunia.
Proses bedah siasat dijalankan di Hospital Sik sebelum kedua-dua jenazah dibawa ke tanah perkuburan untuk dikebumikan.
Jenazah pasangan itu tiba di pekarangan surau Kampung Charuk Pelanduk kira-kira jam 11.30 pagi untuk disembahyangkan sebelum dikebumikan dalam satu liang lahad.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan pasangan suami isteri tersebut maut selepas kenderaan jenis Perodua Myvi yang dinaiki mereka hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan, menyebabkan kenderaan itu bertembung dengan sebuah lori dari arah hadapan.
Pertembungan itu menyebabkan kedua-dua mangsa tersepit dan disahkan meninggal dunia oleh kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia.
https://www.sinarharian.com.my/article/719762/edisi/utara/pasangan-suami-isteri-maut-persiapan-raya-jadi-kenangan
|