Vehicles wait at a red light at an intersection in Hanoi on January 8, 2025. (Photo by Nhac NGUYEN / AFP)
HANOI: Kerajaan Vietnam akan membayar rakyatnya yang melaporkan kes pesalah trafik sehingga lima juta dong (RM895), ketika negara Asia Tenggara itu terus berusaha mengurangkan kes kesalahan di jalan raya.
Sejak awal tahun ini, pihak berkuasa negara itu sudah menaikkan secara mendadak denda ke tahap hampir tidak mampu dibayar oleh pemandu biasa, termasuk bagi kesalahan melanggar lampu trafik merah dan menggunakan telefon bimbit.
Di bawah peraturan baru itu, sesiapa saja yang melaporkan kesalahan lalu lintas yang disahkan di Vietnam, boleh meraih ganjaran sehingga 10 peratus denda yang dikenakan.
Undang-undang itu menyebut identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan untuk memastikan privasi mereka dilindungi.
Setakat ini, belum ada mana-mana pihak sudah diberi ganjaran, menurut media kerajaan, yang memetik polis.
Di negara yang purata pendapatan bulanan adalah sekitar 7.7 juta dong (RM1,364) itu, kesalahan melanggar lampu merah menggunakan motosikal dikenakan denda enam juta dong (RM1,063), enam kali ganda daripada angka sebelumnya.
Jika pemandu kereta melakukan perkara sama, denda dikenakan hampir 20 juta dong (RM3,545), meningkat daripada enam juta dong (RM1,063).
Selain itu, denda untuk pelanggaran membabitkan tahap alkohol 0.25mg-0.4mg setiap liter nafas atau 50mg-80mg setiap 100ml darah akan meningkat daripada 18 juta dong (RM3,192) kepada 20 juta dong (RM3,545).
Pelanggaran berkaitan membuat pusingan U di lebuh raya, memandu ke arah salah atau mengundur di lebuh raya dan menunggang motosikal di lebuh raya juga akan menyaksikan denda meningkat dua hingga tiga kali ganda berbanding penalti sedia ada.
Membuka pintu kereta atau membiarkannya terbuka dengan cara yang tidak selamat, kini akan mengakibatkan denda sebanyak 22 juta dong (RM3,897), peningkatan dramatik daripada 600,000 dong (RM106) sebelumnya.
Denda juga meningkat dua kali ganda bagi kesalahan menggunakan telefon bimbit ketika memandu.
"Saya terkejut dengan kadar denda ini. Saya takut sekarang. Saya akan mula mematuhi peraturan dengan ketat," kata pemandu basikal Grab, Nguyen Quoc Phong, yang mengaku kerap melanggar lampu merah di ibu negara Hanoi.
Seorang pegawai polis di Hanoi memberitahu sudah melihat beberapa pemandu menangis apabila didenda.
Kira-kira 77 juta motosikal dan 6.3 juta kereta menguasai jalan raya di Vietnam, menurut statistik rasmi kerajaan.
Tahun lalu, kemalangan jalan raya meragut 30 nyawa sehari, sementara trafik terutamanya di bandar-bandar utama sesak, selepas pemandu bergerak tanpa mematuhi lampu isyarat atau papan tanda serta peraturan jalan raya. - AFP.
|