Selepas hampir empat tahun meninggalkan kerjaya sebagai guru, pelawak dan pengacara, Namie bersyukur dengan rezeki yang telah dikurniakan kepada dirinya setakat ini.
Bagaimanapun, Namie atau nama sebenarnya Najmi Shaharudin enggan terlalu mendabik dada kerana sedar ujian boleh datang pada bila-bila masa.
“Saya hanya bergantung kepada rezeki, jiwa dan minat. Saya pun tak boleh terlalu yakin kata kehidupan makin okay lepas tinggalkan kerjaya pendidik. Kalau tuhan nak uji, sekelip mata sahaja.
“Apapun, saya kini lebih selesa dan bebas. Bukanlah nak kata saya tidak menjaga batas tapi sekarang saya boleh buat apa yang sebelum ini tidak boleh.
“Sebelum ini, saya mungkin terkekang dengan sesuatu seperti akta dan undang-undang. Ketika ini, segalanya bertambah baik dan diharapkan selamanya begitu,” katanya kepada MH.
Dianggap Sendu
Meskipun sibuk dengan pelbagai tawaran kerja, penyampai radio Era ini turut mendedahkan ada pihak yang melabelkannya sebagai ‘sendu’ hanya kerana jarang muncul di kaca televisyen.
“Cerita fasal rezeki ini, tak boleh nak sorok sangat sebab orang nampak. Bila ada yang tak nampak, mereka kata kita ni tiada ‘job’ pula. Mereka tak tahu kita ni ramai klien-klien luar.
“Ramai orang kita masih dengan mentaliti ‘kalau artis, kena masuk tv’. Mungkin itu dari pihak orang kampung saya. Katanya asyik nampak saya dekat MeleTOP sahaja dan seperti tiada job lain.
“Saya anggap itu sebagai kiasan sahaja. Tak ambil serius pun,” ujarnya lagi.
Namun, Namie mendedahkan dia tidak berada hati dan faham niat mereka hanya sekadar ini bertanya.
“Ketika ini, sudah tidak banyak yang bertanya soal kerjaya lama saya. Kalau dahulu, bukan setakat orang kampung, ahli keluarga sendiri pun bertanya. Saya faham mereka sekadar bertanya sahaja.
“Yang melebih-lebih ini selalunya di bahagian komen dan posting-posting orang yang saya tak kenal. Mereka cakna dengan kehidupan saya,” katanya lagi.
Pada masa sama, Namie akui tidak kisah bila ada pihak yang mengatakan dia hanya sekadar menempel dan tidak menyerlah.
“Saya meletakkan diri saya sebagai pelapis. Ada yang kata saya ini hanya artis back up atau pilihan kedua. Saya okay sahaja. Kalau ikut peringkat umur, memang logiknya begitu.
“Bila nanti seseorang pengacara itu sudah meningkat usia, takkanlah mereka nak mengacara lagi. Orang-orang seperti saya ini yang akan ganti.
“Saya bertuah kerana di kelilingi orang-orang berpengalaman seperti Nabil dan Radin Era. Mereka bantu saya dalam segala bidang,” akhirinya.
Terdahulu, selepas menjuarai program Muzikal Lawak Superstar 2022, Namie memutuskan untuk meninggalkan kerjaya sebagai seorang guru dan mengejar impiannya untuk bergelar anak seni. - MEDIA HIBURAN
|