TANGKAP layar video tular lelaki membawa anjing ketika minum di restoran nasi kandar di Segamat Baru, Ahad lalu. FOTO Tular
Segamat: Polis mengesan seorang lelaki susulan tindakannya membawa anjing peliharaan ketika minum di sebuah restoran nasi kandar di Segamat Baru, di sini, sehingga videonya tular di media sosial.
Menerusi video terbabit, lelaki dipercayai berusia 20-an dilihat meletak anjing itu di atas bangku restoran berkenaan sebelum pekerja premis terbabit tampil membuat laporan polis.
Ketua Polis Daerah Segamat Superintendan Ahmad Zamry Marinsah berkata, polis mengesan video terbabit selepas ditularkan oleh individu di media sosial, semalam.
Menurutnya, siasatan mendapati kejadian itu berlaku kira-kira jam 12 tengah hari pada Ahad lalu.
"Dalam video yang tular itu, seorang individu dilihat membawa anjing peliharaan ketika minum lalu pekerja premis terbabit tampil membuat laporan polis.
"Pekerja terbabit turut memaklumkan kerusi yang diduduki anjing sudah dibuang selepas perkara itu dimaklumkan kepada majikan," katanya ketika dihubungi.
Katanya, usaha mengesan lelaki itu sedang dijalankan untuk siasatan mengikut Akta Kerajaan Tempatan 1970.
|