Edited by JoyahMengayah at 17-5-2025 01:09 PM
KUALA KUBU BHARU: Pelakon Hafidz Roshdi dilepas dan dibebaskan sepenuhnya oleh Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu, di sini, hari ini daripada pertuduhan mencederakan bekas isterinya, Nurul Shuhada Mat Shukri, dua tahun lalu.
Perintah itu dikeluarkan oleh Majistret, Nurul Izzah Hasan Basri selepas pihak pendakwaan memaklumkan bahawa pengadu tidak lagi berhasrat untuk meneruskan kes itu.
Peguam mewakili Hafidz, Datuk Akberdin Abdul Kader berkata, keputusan mahkamah untuk memberikan 'Acquittal and Discharge' (A&D) atau perintah dilepas dan dibebaskan sepenuhnya adalah berasaskan prinsip keadilan memandangkan pengadu menarik balik laporan polis terdahulu dan menyatakan dengan jelas tidak mahu meneruskan pendakwaan.
"Ini tidak adil kerana pengadu sendiri sudah menyelesaikan perkara ini secara baik, laporan sudah ditarik balik dan ada perintah persetujuan daripada mahkamah," katanya.
Menurut Akberdin, sepanjang kes berlangsung sejak 2023, pihaknya sudah hadir ke mahkamah sebanyak 11 kali, termasuk bagi sebutan dan perbicaraan.
"Hari ini sepatutnya hari bicara, namun pengadu tetap tidak hadir. Sebelum ini, dia tidak hadir atas alasan berada di luar negara dan mahkamah sudah memberikan tarikh akhir iaitu hari ini. Wang jaminan sebanyak RM4,000 turut dipulangkan kepada penjamin, iaitu bapa Hafidz," katanya.
Sementara itu, Hafidz yang ditemui selepas perbicaraan selesa meluahkan rasa syukur atas selesainya kes ini.
"Saya sangat bersyukur kepada Allah SWT, kepada nabi kita, Nabi Muhammad SAW. Itu yang pertama sekali. Saya rasa sangat bersyukur. Saya rasa sangat-sangat lega.
"Saya ingin ucapkan ribuan terima kasih kepada peguam, Akberdin dan pasukan, ibu bapa, peminat yang menyokong saya, keluarga dan wartawan yang datang tadi. Terima kasih datang.
"Terima kasih kepada semua. Itu yang saya ingin ucapkan. Sebab bagi saya, kita nak teruskan ke hadapan. Kita tak nak bermusuhan. Kita tak nak apa-apa.
"Kita nak selesai secara baiklah. Alhamdulillah. Semuanya selesai dengan baik hari ini," katanya.
BH
|