PELAKON dan penyanyi Abby Abadi dipuji ibu yang penyayang oleh warganet baru-baru ini.
Ini ekoran kemesraan Abby atau Arbaiyah Abdul Manan, dengan anak-anak tirinya menuai perhatian ramai.
Dalam hantaran di Instagram, anggota kumpulan Elite itu memuat naik foto memaparkan momen indah menghadiri istiadat konvokesyen Fatihah Muhammad Faizal yang merupakan anak gadis suaminya, Muhammad Faizal Zakaria daripada perkahwinan terdahulu.
Biarpun sebagai ibu tiri, wanita berusia 47 tahun tersebut melahirkan rasa bangga dengan kejayaan Fatihah dan mengucapkan tahniah buat graduan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) itu.
Pemegang watak Inspektor Aleza dalam drama bersiri Gerak Khas berkenaan turut berterima kasih kepada semua yang terlibat mendidik anak tirinya itu.
"Tahniah Kakak Fatihah. Sayang Faris Aqashah.
"Terima kasih arwah atuk, nenek, mak cik saudara dan pak cik saudara yang berjaya mendidik mereka sebaiknya. Abahnya pun tahniah ya.
"Mama tumpang bangga dengan pencapaian anak-anak ini. Terus kuat. Jaga diri sentiasa.
"Doakan mereka dan doakan semua anak-anak kita berjaya dunia akhirat ya," kongsinya.
Perkongsian video oleh Abby itu menerima hampir 30,000 tanda suka. Selain mengucapkan tahniah, warga maya tersentuh dengan ketulusan kasih sayangnya dan mendoakan agar hubungan baik yang terjalin berkekalan hingga ke akhir hayat.
"Sedih pula tengok, ini adalah impian seorang ibu. Dalam masa yang sama tumpang gembira."
"Ada yang menenangkan hati Abby. Alhamdulillah, besar sungguh hatimu, ibu tiri yang penyayang."
"Tahniah. Alhamdulillah untuk anak ini. Moga terus berjaya. Faham. Situasi inilah yang Abby mahukan. Namun apakan daya telah tertulis begitu. Moga anak-anak lain akan berjaya ke menara gading dan berjaya dunia akhirat."
Sekadar info, Abby terdahulu berkahwin dengan aktor Norman Hakim dan bercerai pada tahun 2008. Mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Mohd Danish Hakim, 22, yang merupakan huffaz al-Quran dan Marissa Dania Hakim, 20.
Abby kemudian bertemu jodoh dengan Muhammad Farhan Che Bakar pada 2013 namun bercerai 11 bulan kemudian.
Abby dan Muhammad Faizal berkahwin pada Ogos 2015 dan mengambil tiga orang anak angkat iaitu Muhammad Daiyan Fayyad, Maisara Dayana Fathia dan Maira Darda Farisa. - SINAR HARIAN
|