Nibong Tebal: Terpengaruh dengan janji keuntungan berlipat kali ganda, guru lelaki di Seberang Perai Selatan rugi sehingga RM511,000 angkara sindiket pelaburan saham dalam talian yang tidak wujud.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, mangsa berusia 47 tahun membuat laporan polis semalam, selepas menyedari ditipu apabila gagal mengeluarkan modal dan laba daripada pautan diberikan.
Katanya, mangsa mula terbabit selepas melihat iklan di Facebook pada awal Februari lalu dan berhubung dengan suspek di WhatsApp sebelum dimasukkan ke dalam kumpulan pelaburan 'Destiny On Your Hand'.
"Selepas diberi penerangan mengenai skim dan pulangan pelaburan bakal diterima, mangsa diminta memuat turun aplikasi diberikan untuk mendaftar sebagai ahli dan melabur.
"Dia kemudian membuat 12 transaksi pindahan wang pelaburan ke tiga akaun bank berbeza sehingga berjumlah RM511,000.
"Bagaimanapun, mangsa tidak meraih apa-apa selepas gagal mengeluarkan modal dan keuntungan dijanjikan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Berikutan itu katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Hamzah turut menasihati orang ramai agar berhati-hati dalam menyertai mana-mana skim pelaburan khususnya ditawarkan secara dalam talian supaya tidak menjadi mangsa penipuan. - HARIAN METRO
|