KUALA LUMPUR: Pengacara dan bekas penyampai radio, Halim Othman mengakui sangat mencabar untuk mengembalikan semula suara ketika kemuncak rancangan Roda Impian 27 tahun lalu.
Namun berkat bantuan pengarah filem Keluang Man, Anwari Ashraf, hasrat itu berjaya dilakukan Halim atau Abdul Halim bin Othman, 60, selepas berkampung dua hari di dalam studio.
“Mula-mula saya fikir bolehkah saya bawa semula suara saya di zaman itu untuk filem Keluang Man? Namun Alhamdulillah setelah berpuluh ‘take’ akhirnya dapat juga kembalikan suara itu.
“Lama juga daripada pukul lapan pagi sampai satu pagi keesokan hari. Saya puas hati, semua ini berjaya atas tunjuk ajar pengarah. Saya berikan yang terbaik.
“Cuma Astro kena ingat, upah itu saya ‘claim’ dua hari ya,” katanya berseloroh.
Halim ditemui Utusan Malaysia di majlis pelancaran treler rasmi, Keluang Man, baru-baru ini.
Menceritakan detik dilamar pengarah untuk menjadi sebahagian daripada filem adiwira Keluang Man, Halim terharu kerana naskhah ini bakal merakam suasana Malaysia di era 1998.
“Saya dimaklumkan oleh Anwari Ashraf ada watak saya dalam naskhah ini terutama kegemilangan Roda Impian di era 1998. Mustahil untuk saya tolak sebab watak itu tiada orang lain boleh buat.
“Saya terharu dan berbangga dengan imaginasi pengarah mahu menempatkan kenangan tentang Malaysia dalam filem adiwira kita.
“Bagus filem ini kerana akan menyatukan banyak generasi. Ketika itu meriah dengan Roda impian, radio Era dan Malaysia di ambang alaf baharu. Pengenalan ini penting terutama sekali kepada generasi Z,” katanya.
Filem Keluang Man merupakan adaptasi daripada watak animasi popular 1990-an. Turut sama memeriahkan naskhah yang bakal menemui penonton 29 Mei ini ialah Nas-T, Datuk Remy Ishak, Datuk Rosyam Nor, Anwaar Beg Moghal dan Shweta Sekhon. - UTUSAN
|