PETALING JAYA – Membanggakan negara, pencapaian penyanyi Shila Amzah yang meraih pelbagai pengiktirafan menerusi kerjaya seninya dipamerkan di sebuah ekspo antarabangsa di Osaka, Jepun.
Paparan gambar serta portfolio kejayaan diraih pemilik nama penuh Nurshahila Amir Amzah, 34, itu dikongsikan peminat yang menghadiri World Expo Osaka 2025 di Pulau Yumeshima, baru-baru ini.
Menerusi perkongsian tersebut, dilampirkan senarai kemenangannya dalam beberapa pertandingan nyanyian di China termasuk Asian Waze 2012 musim pertama yang menyaksikannya bergelar juara.
Antara kemenangan lain adalah berada di tempat ketiga program I Am A Singer 2014 selain dipilih ke World Music Awards di Amerika Syarikat bagi kategori Penyanyi Wanita Terbaik, Penghibur Terbaik dan Video Terbaik.
Menerusi carian, ekspo yang diadakan lima tahun sekali itu berlangsung selama enam bulan iaitu dari 13 April 2025 sehingga 13 Oktober 2025.
Dalam edisi terdahulu, pameran yang disertai banyak negara itu menyaksikan Dubai menjadi tuan rumah.
Menerusi ruangan komen, ramai peminat menzahirkan rasa bangga dan teruja melihat penyanyi tempatan diangkat di negara luar sekali gus berharap dianugerahkan gelaran.
“Inilah ’emas’ negara. Selayaknya mendapat gelaran Datuk,” kata seorang peminat
“Datuk Seri Shila Amzah. Saya doakan beliau dianugerahkan gelaran ini. Sudah selayaknya,” tulis netizen lain.
Penyanyi Memori tercipta itu turut memberi balasan dengan mengucapkan terima kasih kepada semua yang memberikan sokongan. – KOSMO! ONLINE
|