MASALAH obesiti dalam kalangan kanak-kanak pada masa kini semakin membimbangkan.
Keadaan ini tidak wajar dipandang remeh kerana kanak-kanak yang ada masalah obesiti berkemungkinan berasa rendah diri serta mempunyai pergerakan terhad.
Obesiti merujuk kepada keadaan, seseorang mempunyai berat badan berlebihan akibat pengumpulan lemak dalam tubuh.
Kanak-kanak mengalami obesiti berisiko tinggi untuk mendapat pelbagai penyakit kronik yang kebiasaannya berlaku dalam kalangan orang dewasa, seperti tekanan darah tinggi, diabetes dan masalah jantung.
Oleh itu amat penting kita mengenal pasti punca masalah ini dan mengambil langkah sewajarnya bagi menanganinya.
Salah satu punca utama obesiti kanak-kanak ialah tabiat pemakanan tidak sihat. Ramai kanak-kanak hari ini gemar mengambil makanan segera seperti burger, ayam goreng, kentang goreng, dan minuman berkarbonat yang tinggi kandungan gula dan lemak.
Pengambilan makanan ini secara berlebihan tanpa pengawalan akan menyebabkan kalori terkumpul dalam badan dan mengakibatkan peningkatan berat badan secara mendadak.
Kurang melakukan aktiviti fizikal juga menyumbang kepada masalah obesiti.
Gaya hidup moden yang banyak bergantung kepada teknologi menyebabkan kanak-kanak lebih suka menghabiskan masa di hadapan televisyen, komputer, atau telefon pintar.
Aktiviti fizikal seperti bersukan, berbasikal atau bermain di luar rumah semakin kurang diamalkan, dan ini menyumbang kepada kurangnya pembakaran kalori dalam badan.
Pengaruh ibu bapa dan persekitaran turut memainkan peranan besar dalam perkembangan obesiti.
Ibu bapa yang tidak memberi contoh pemakanan sihat atau tidak menggalakkan anak-anak aktif secara fizikal boleh mempengaruhi gaya hidup anak-anak.
Malah, dalam sesetengah kes, ibu bapa sendiri memberi ganjaran berupa makanan tidak sihat yang secara tidak langsung menggalakkan tabiat pemakanan berlebihan.
Bagi mengatasi masalah obesiti dalam kalangan kanak-kanak, beberapa langkah perlu diambil.
Pertama, pendidikan mengenai pemakanan sihat perlu diterapkan sejak kecil, sama ada di rumah mahupun di sekolah.
Kanak-kanak perlu diajar mengenai kepentingan makanan seimbang dan kesan buruk makanan ringan dan minuman berkarbonat secara berlebihan, sebaliknya, ibu bapa perlu menggalakkan anak-anak untuk minum air kosong secukupnya.
Ibu bapa dan guru juga perlu menggalakkan aktiviti fizikal dalam kehidupan seharian kanak-kanak. Aktiviti seperti senamrobik, sukan, permainan luar dan pendidikan jasmani boleh membantu kanak-kanak membakar kalori secara sihat dan mengurangkan risiko obesiti.
Pengawalan masa skrin juga penting bagi memastikan mereka tidak terlalu leka dengan gajet sehingga melupakan aktiviti fizikal.
Kesimpulannya, obesiti dalam kalangan kanak-kanak merupakan isu serius dan perlu diberi perhatian oleh semua pihak.
Dengan pemakanan yang seimbang, gaya hidup aktif serta peranan ibu bapa dan guru sebagai pembimbing, masalah ini dapat dikawal dan dicegah daripada menjadi lebih teruk.
Langkah pencegahan awal bukan sahaja menjamin kesihatan fizikal kanak-kanak, malah membantu membentuk generasi yang sihat dan cergas pada masa hadapan. - BH ONLINE
|