DILIHAT semakin langsing, penyanyi Nadeera Zaini menyangkal dakwaan dia menjalani sebarang bentuk prosedur seperti pembedahan membuang lemak bagi menguruskan badan.
Berjaya menurunkan berat badan sebanyak 10 kilogram, Nadeera, 32, sebaliknya memberihu dia hanya 'memotong' pengambilan makanan serta minuman dengan kandungan bergula tinggi sejak lapan bulan lalu.
“Dakwaan mengatakan saya mengambil suntikan atau buat pembedahan buang lemak tidak benar sama sekali.
“Saya rasa tidaklah terlalu drastik perubahan saya ini dan mengambil masa juga daripada 52 kilogram kepada 42 kilogram.
“Sebenarnya saya cuma diet dengan 'potong' pengambilan gula untuk turunkan berat badan sejak lapan bulan lalu,” katanya kepada mStar.
Nadeera berkongsi perkara itu ketika ditemui pada majlis Meriahnya Raya di Glam Hall, Damansara, Selangor pada Rabu.
Berkongsi perbezaan selepas berjaya menurunkan berat badan, kata Nadeera, nyanyiannya menjadi lebih mudah dan keyakinan berjumpa dengan orang ramai semakin meningkat.
Malah penyanyi Bukan Lagi Kita ini mengakui pernah mempunyai masalah mengawal pernafasan ketika berat badannya berlebihan.
"Bukan sahaja lebih bertenaga malah saya lebih yakin berdepan dengan orang ramai.
"Bila menyanyi pun jadi lebih senang macam bila nak 'curi' nafas dalam nyanyian.
"Kalau tak dulu saya susah nak kawal pernafasan dan nyanyian banyak yang tak sampai sebab rasa mengah," jelasnya.
Dalam perkembangan lain, Nadeera merupakan artis pertama naungan syarikat rakaman Huge House Entertainment, pada masa sama masih mengekalkan kerjasama bersama label Rocketfuel Entertainment.
Huge House Entertainment milik penyanyi Hael Husaini bersama tiga lagi rakan kongsi.
Malah lagu Bukan Lagi Kita yang dipopularkan Nadeera adalah produk pertama syarikat rakaman berkenaan. - mStar
|