Edited by sfhzuraz at 24-4-2025 03:41 AM
Guru buat laporan polis terima mesej perkauman daripada penghantar makanan
SYAJARATULHUDA MOHD ROSLI
23 April 2025 08:09pm

Seorang guru membuat laporan polis selepas menerima mesej berbaur penghinaan dan perkauman daripada seorang penghantar makanan melalui ciri sembang dalaman aplikasi penghantaran tersebut.
GEORGE TOWN - Seorang guru wanita berusia 27 tahun dari Machang Bubok, Seberang Perai Tengah membuat laporan polis selepas menerima mesej berbaur penghinaan dan perkauman daripada seorang penghantar makanan melalui ciri sembang dalaman aplikasi penghantaran tersebut.
Wanita tersebut mendakwa menerima mesej tersebut pada jam 4.40 petang, Ahad lalu selepas dia menghantar pesanan mesej kepada penghantar berkenaan untuk bertanya mengenai status tempahannya.
Menurut wanita berkenaan, pada mulanya dia menerima notifikasi awal yang menyatakan penghantar makanan sudah sampai ke restoran.
Selepas tidak menerima pesanannya pada masa yang dijangkakan, wanita berkenaan menghantar mesej kepada penghantar makanan tersebut bertanyakan sama ada sudah sampai atau belum lalu dijawab 'ni ada bawah' oleh penghantar makanan berkenaan.
Wanita itu berkata, dia sedang dalam perjalanan ke tingkat bawah pangsapuri ketika mesej berbaur penghinaan itu diterima.
Penghantar makanan tersebut didakwa menghantar mesej berbunyi "Oii sampai. Tak mau ambik makanan jangan order pu**mak Hindu.
Sementara itu, syarikat perkhidmatan e-hailing, Grab Malaysia telah menyekat akaun penghantar makanan berkenaan serta merta.
Grab Malaysia berkata, pihaknya juga sedang menyiasat kes berkenaan susulan aduan berhubung penggunaan bahasa kesat serta unsur diskriminasi tersebut.
Menurutnya, tindakan tegas itu diambil sebaik sahaja maklumat berkenaan diterima daripada pihak pelanggan yang terlibat.
“Terima kasih kerana memaklumkan perkara ini kepada kami.
"Sila ambil maklum bahawa akaun pemandu tersebut telah disekat dan kini sedang dalam siasatan,” katanya.
Grab Malaysia berkata demikian ketika membalas komen pada hantaran pengadu di Facebook.
Dalam pada itu, pihak syarikat turut menegaskan bahawa mereka tidak bertolak ansur terhadap sebarang bentuk bahasa kesat atau diskriminasi.
“Tindakan yang sewajarnya akan diambil.
"Kami amat menghargai kesabaran dan kefahaman anda sementara siasatan dijalankan,” tambahnya.
https://www.sinarharian.com.my/article/724685/berita/semasa/guru-terima-mesej-berbaur-perkauman-dari-penghantar-makanan-buat-laporan-polis
|