Kangar: Seorang pelajar Tingkatan Tiga sebuah sekolah menengah di bandar ini dikejarkan ke Hospital Tuanku Fauziah, di sini, hari ini selepas sawan dipercayai kerana menghisap vape.
Kejadian berlaku sekitar 9.35 pagi apabila pelajar berkenaan bersama dua lagi rakannya keluar kelas tanpa kebenaran guru ketika menjawab kertas ujian Bahasa Inggeris di sekolah berkenaan.
Pengarah Pendidikan Perlis, Rose Aza Che Arifin berkata, ketika seorang guru lain mengambil tugasan mengawas di kelas itu, dia mendapati mangsa dipapah masuk ke kelas oleh dua rakannya itu dalam keadaan tidak sedarkan diri serta mulut berbuih.
Katanya, guru bertugas segera melaporkan perkara itu kepada pentadbir sekolah sebelum menghubungi pihak ambulans dan waris pelajar itu untuk dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF).
"Siasatan awal kita mendapati, mangsa dipercayai menghisap vape bersama rakan di tandas sekolah lebih kurang 9.30 pagi.
"Namun begitu, jenis vape belum dapat dikenal pasti oleh pegawai perubatan pada masa ini dan kita membantu pihak sekolah menyediakan laporan awal," katanya.
Beliau berkata, pihaknya sudah mengarahkan guru disiplin dan kaunselor sekolah untuk hadir ke HTF bagi siasatan lanjut.
"Pihak sekolah turut menghantar laporan awal kepada Unit Hal Ehwal Murid, Sektor Pembangunan Murid, Jabatan Pendidikan Negeri Perlis," katanya. - HARIAN METRO
|