CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 117|Reply: 0

[Pulau Pinang] Tsu Koon kenang jasa Pak Lah bangunkan Pulau Pinang

[Copy link]
Post time 15-4-2025 06:02 PM | Show all posts |Read mode
Edited by sfhzuraz at 15-4-2025 06:04 PM

Tsu Koon kenang jasa Pak Lah bangunkan Pulau Pinang

SYAJARATULHUDA MOHD ROSLI
15 April 2025 01:24pm




Tsu Koon (kini) bersama Pak Lah ketika Allahyarham menjadi Perdana Menteri Kelima Malaysia dahulu.



GEORGE TOWN - Pemergian Tun Abdullah Ahmad Badawi, Perdana Menteri Kelima Malaysia yang juga anak jati Pulau Pinang pertama memegang jawatan tertinggi negara itu, disifatkan sebagai satu kehilangan besar buat rakyat negeri ini dan negara.

Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Tan Sri Koh Tsu Koon berkata, beliau pertama kali bertemu dengan Allahyarham Abdullah atau lebih dikenali sebagai Pak Lah pada April 1982 dalam satu perhimpunan calon Barisan Nasional di Pulau Pinang bagi menghadapi pilihan raya umum ketika itu.


“Walaupun saya masih baru dalam dunia politik ketika itu, Pak Lah menerima saya dengan mesra dan penuh rendah diri.

"Beliau sangat baik hati, ramah dan mesra dengan semua lapisan masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.


Tambahnya, selepas pilihan raya tersebut, Allahyarham dilantik sebagai Menteri Pendidikan dan memainkan peranan penting dalam menyelesaikan isu-isu berkaitan pendidikan Cina secara terbuka dan pragmatik.

“Pak Lah sentiasa bersedia untuk berdialog dan mencari jalan penyelesaian yang boleh diterima semua pihak,” ujarnya.


Mengimbau kenangan bersama Allahyarham, Tsu Koon berkata, setiap kali Hari Raya Aidilfitri, beliau bersama pemimpin Gerakan Pulau Pinang tidak pernah gagal menziarahi rumah Pak Lah serta Datuk Seri Anwar Ibrahim yang turut menjadi Ahli Parlimen pada tahun sama.

Malah katanya, kunjungan tersebut tetap diteruskan walaupun selepas Allahyarham tidak lagi memegang jawatan dalam Kabinet.


“Saya masih ingat pada tahun 1987, saya terlihat Pak Lah dan isteri beliau, Allahyarhamah Tun Endon Mahmood, menunggu teksi di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang.

"Saya segera mengambil mereka dan menghantar sendiri ke rumah di Kepala Batas,” katanya.

Beliau berkata, sepanjang perkhidmatan sebagai Perdana Menteri dari 2003 hingga 2009, Pak Lah banyak memberi perhatian terhadap pembangunan Pulau Pinang.

“Beliau meluluskan beberapa projek besar atas permintaan kerajaan negeri seperti Jambatan Kedua Pulau Pinang, Koridor Ekonomi Wilayah Utara (NCER), sistem LRT dari George Town ke Lapangan Terbang, pembangunan Bandar Cassia di Batu Kawan dan Penang Transit.

“Pak Lah juga sering membawa delegasi ke luar negara untuk menarik pelaburan ke Malaysia dan Pulau Pinang. Pada tahun 2003, atas cadangan saya, beliau melawat Universiti Xiamen dan membuka laluan kepada penubuhan Universiti Xiamen Malaysia,” katanya.

Tambah beliau, selepas Pak Lah bersara, beliau sering menziarahi Allahyarham, lebih-lebih lagi apabila kesihatan Allahyarham mula merosot.

“Pak Lah seorang pemimpin berjiwa rakyat. Kebaikan hati dan sifat penyayang beliau akan terus dikenang rakyat Malaysia.

"Pemergian beliau satu kehilangan besar buat negara. Takziah saya ucapkan kepada seluruh keluarga Allahyarham," ujarnya.

https://www.sinarharian.com.my/article/722957/berita/nasional/tsu-koon-kenang-jasa-pak-lah-bangunkan-pulau-pinang


Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

24-5-2025 12:50 AM GMT+8 , Processed in 0.039440 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list