KUALA LUMPUR: Pernah dituduh bermusuh dengan Ratu Rock, Ella ketika awal pembabitan dalam bidang seni, Shima mendakwa isu itu tercetus disebabkan ada pihak yang cuba melaga-lagakan mereka.
Shima atau nama sebenar, Ku Nazhatul Shima Ku Kamaruzzaman, 56, berkata biarpun pernah menganggotai kumpulan yang sama dengan Ella, iaitu The Boys, mereka tidak sepatutnya dibandingkan kerana masing-masing ada kelebihan sendiri.
"Kami datang daripada kumpulan sama iaitu The Boys. Ella lebih dahulu sertai The Boys. Selepas Ella keluar, saya pula masuk.
"Jadi, sudah tentu ada pihak yang banding dan laga-lagakan kami. Bagi saya, senang sahaja. Ella ada suara tersendiri dan saya dengan suara saya. Bakat masing-masing berbeza dan genre muzik saya ketika bersama The Boys lebih kepada hard rock," katanya pada sesi podcast Borak Harini terbitan Berita Harian (BH) yang disiarkan.
Mengimbau saat dia menyertai kumpulan The Boys, Shima yang popular dengan lagu Teringin berkata, semuaya berlaku tanpa dirancang.
"Suatu hari, saya, adik dan rakan-rakan dapat tahu The Boys buat persembahan di sebuah kelab di Klang. Kami pun pergilah untuk melihat mereka. Ketika itu, The Boys ada dua penyanyi wanita. Ella tiada sebab sudah keluar dari kumpulan itu.
"Hendak dijadikan cerita, adik saya minta saya menyanyi dan Lord Lokman (gitaris The Boys) ajak saya naik pentas. Lagu pertama saya dengan mereka adalah The Power Of Love dipopularkan Jennifer Rush.
"Selepas itu, Lord tawarkan saya untuk menyanyi dengan The Boys. Kebetulan, salah seorang penyanyi mereka hendak berhenti sebab mahu berkahwin. Jadi, saya pun jadilah pengganti. Kiranya ini adalah rezeki saya," katanya.
Shima memberitahu peluang untuk menjadi artis rakaman terbuka luas selepas bakat mereka dikesan Pengurus Artis & Repertoire (A&R), CBS Records ketika itu, iaitu Allahyarham Datuk Adnan Abu Hassan.
"Selepas sertai The Boys, kami rondalah dari satu kelab ke satu kelab dan bermain di kelab malam serta disko.
"Saya ingat lagi ketika itu, arwah Adnan Dayang dan tengok kami menyanyi. Dari situlah kami dapat tawaran untuk jadi artis mereka dan bermulalah Shima & The Boys," katanya yang mendapat mendapat pendedahan awal dalam bidang nyanyian menerusi kumpulan koir d sekolah.
Sementara itu, menjawab dakwaan membuat pembedahan plastik demi cantik, Shima pantas menyangkal.
"Saya tidak pernah buat apa-apa pembedahan pada muka. Saya takut soal bedah-bedah ni. Apa yang saya buat hanyalah rawatan pada wajah, bukannya pembedahan.
"Saya bukannya jenis artis yang hipokrit dan terus terang, saya buat rawatan estetik pada wajah di sebuah klinik di Kepong. Saya buat rawatan yang ditaja sepenuhnya.
"Sebelum ini, saya tidak pernah buat apa-apa pada wajah. Apabila usia sudah menginjak 56 tahun dan kebetuan saya nak buat 'comeback', jadi saya terima tawaran mereka," katanya.- BH ONLINE
|