SELEPAS habis sahaja sambutan hari raya baru-baru ini, adalah seorang teman industri hiburan ini datang bertanya kepada Cik Bunga mengenai pasangan selebriti, Nadiyah Shahab dan Ben Ali.
Selama ini, Cik Bunga tengok pasangan ini sebagai antara pasangan selebriti ‘power couple’. Sebabnya, kedua-dua mereka ini sangat komited membangunkan perniagaan acara termasuk beberapa perniagaan lain bersama.
Kalau tak silap, mereka juga yang anjurkan acara festival Absolut Bazaar setiap tahun yang dengar cerita setiap kali dianjurkan semasa bulan Ramadan, ramainya orang bukan main-main. Maksudnya, memang hebatlah penangan dua selebriti ini dalam dunia perniagaan bukan? Tapi dalam pada itu, tidak sangka pula Cik Bunga bila dikhabarkan Nadiyah dan Ben kini kononnya sudah tidak lagi tinggal sebumbung, sudah berpisah sebagai suami isteri.
Menurut khabar yang Cik Bunga terima, keadaan itu cukup ketara apabila sambutan raya baru-baru ini juga dikatakan tidak menampakkan mereka meraikannya bersama. Tak macam suami isteri dah. Seorang ke utara, seorang ke selatan umpamanya.
Itu pun ada yang beritahu pada Cik Bungalah. Kalau tidak, kita pun tak perasan juga. Maklumlah, kita pun sibuk beraya dengan keluarga. Tetapi, terlalu awal juga hendak cakap yang mereka ini sudah bercerai sebab mana tahu, sebenarnya masingmasing sibuk dengan urusan. Sebelum ini pun sudah ada yang bertanyakan hal ini kepada mereka.
Jawapan yang diterima, memetik kata Ben, dia dan Nadiyah masih bersama. Tujuh tahun berkahwin, kadangkala ada pasang surutnya itu biasa. Tetapi tidak tahulah Cik Bunga, mungkin Ben pun sekadar cakap beralas, kita pun tak tahu sejauh mana seriusnya masalah rumah tangga mereka itu.
Tak apalah, harap-harap Nadiyah dan Ben dapat selesaikan masalah rumah tangga itu dengan sepakat. Adatlah, kalau sudah menjadi selebriti, banyak sahaja mata akan melihat dan menilai. Benda tak betul kita perbetulkan. - Utusan
|