Dalam satu perkembangan yang jarang berlaku, pemimpin PAS dan DAP tampil senada mempertahankan lawatan Adun Semenyih, Nushi Mahfodz ke sebuah kuil Hindu baru-baru ini yang mencetuskan reaksi pelbagai di media sosial.
Pengarah Jabatan Kajian dan Polisi Lajnah Penerangan PAS Pusat, Nurul Islam Mohamed Yusoff berkata kehadiran Nushi ke kuil tersebut atas dasar kunjungan muhibah dan tidak melibatkan sebarang penyertaan dalam ritual keagamaan.
"Bila YB Nushi menziarahi kuil tersebut sebagai balasan selepas mereka hadir ifthar anjuran YB. Kalau tengok dalam gambar pun, YB tidak terlibat dengan sebarang upacara keagamaan. YB hanya diberikan penerangan mengenai agama Hindu.
"Perkara ni pernah berlaku juga kepada Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz dan Tuan Guru Abdul Hadi Awang. Masa tu kecoh musuh politik PAS kata Tuan Guru jadi bahan sembahan orang Hindu.
"Punyalah cetek ilmu. Tapi nak buat palatao (serba tahu)," katanya pada satu kenyataan hari ini.
Adun Semenyih itu sebelum ini menjelaskan lawatannya ke Arulmigu Dewi Sri Karumariamman Alayam sebahagian usaha menyantuni masyarakat Hindu tempatan.
Kunjungan itu, katanya lebih tertumpu kepada dialog bersama pengurusan kuil dan mendengar aspirasi mereka.
"Sebagai tanda penghormatan, saya dipakaikan selendang kuning cair (ponnadai) dan kalungan bunga—simbol sambutan dan persahabatan dalam budaya masyarakat India, khususnya komuniti Tamil.
"Ini bukan sebahagian daripada sebarang ritual, dan saya langsung tidak terlibat dalam apa-apa bentuk ibadah atau simbol keagamaan, seperti postur menyembah (namaskaram), pemakaian tanda di dahi, menuang susu ke dalam periuk tanah atau penyertaan dalam upacara," jelasnya pada hantaran di media sosial.
Sementara itu, Ahli Parlimen Bangi Syahredzan Johan yang mewakili DAP menyifatkan tindakan Nushi merupakan tanggungjawab asas seorang wakil rakyat.
"Apa yang dilakukan oleh ADN Semenyih YB Nushi Mahfodz sememangnya sebahagian daripada tanggungjawab seorang wakil rakyat.
"Wakil rakyat harus mewakili semua kaum dan agama, bukan hanya komunitinya sahaja. Saya berharap episod ini menoktahkan polemik yang sering dimainkan khususnya oleh penyokong parti politik belah sana tentang lawatan ke rumah ibadat bukan Muslim.
"Beberapa pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang menyantuni rakyat di rumah ibadat bukan Muslim sebelum ini telah dikecam dan dicerca oleh sesetengah penyokong parti politik pembangkang, termasuklah perdana menteri sendiri.
"Malah, saya sendiri juga pernah mengalaminya. Jangan pula bila pemimpin belah lawan buat, jadi salah, tetapi bila pemimpin anda buat, boleh pula. Mari sama-sama kita berpolitik dengan matang," tulisnya di Facebook.
This post contains more resources
You have to Login for download or view attachment(s). No Account? Register