ANDA pernah tonton drama Korea berjudul Signal dan Tunnel? Juga filem berjudul ‘Memories of Murder’? Tahukah anda, drama dan filem itu diinspirasikan daripada tragedi pembunuhan berantai yang pernah menggemparkan Korea Selatan sekitar tahun 1986 sehingga 1991.
Tragedi yang disebut sebagai ‘pembunuhan bersiri Hwaseong’ itu berlaku di Hwaseong, sebuah bandar yang terletak dalam daerah Gyeonggi. Antara tahun 1986 sehingga 1991, rakyat negara itu dikejutkan dengan kejadian pembunuhan bersiri di bandar tersebut yang merupakan antara pembunuhan berantai terbesar dalam sejarah kes jenayah di negara republik itu.
Dalam tempoh tersebut, 10 mayat wanita berusia antara 14 tahun sehingga 71 tahun ditemui dengan corak pembunuhan yang sama. Mayat-mayat wanita itu ditemui dalam keadaan diikat dengan pakaian mereka sendiri dan didapati telah diperkosa dan dijerut hingga mati.
Ia bermula pada 15 September 1986 apabila satu mayat wanita ditemui di sebuah kawasan sawah. Mayat yang diikat dengan pakaiannya sendiri itu didapati telah dirogol dan dicekik sehingga mati. Mangsa dikenal pasti sebagai Lee Wan Im, berusia 71 tahun.
Memories of Murder, filem yang diterbitkan pada 2003 berdasarkan kisah pembunuhan berantai Hwaseong.
Sewaktu kes tersebut disiasat, mayat kedua pula ditemui pada pada 20 Oktober. Mangsa bernama Park Hyun Sook. Mayatnya ditemui dalam keadaan serupa seperti mayat pertama.
Kemudian, pada 12 Disember, mayat ketiga ditemui yang dikenali sebagai Kwon Jung Bon, berusia 25 tahun. Hanya selang dua hari kemudian, mayat keempat pula muncul, seorang gadis berusia 23 tahun bernama Lee Kye Sook. Kesemua mereka ditemui dalam keadaan yang sama. Mereka diperkosa, diikat dan dicekik sehingga mati dengan pakaian sendiri.
Gambar kiri adalah fotonya semasa di sekolah tinggi, manakala gambar kanan adalah lakaran wajah pembunuh yang dilukis pada tahun 1980-an.
Kes tersebut mendapat liputan meluas sehingga penduduk Hwaseong hidup dalam ketakutan. Siasatan besar-besaran dilakukan yang melibatkan lebih kurang dua juta anggota polis bagi menangkap pembunuh bersiri tersebut.
Namun, agak sukar polis mengesan pelakunya memandangkan ketika itu kemampuan penyiasatan mereka masih terhad. Ketika masih buntu untuk mengesan pembunuh tersebut, mayat kelima pula ditemui pada 10 Januari 1987. Korbannya ialah gadis berusia 19 tahun, Jong Jin Young.
Empat bulan kemudian, mayat keenam ditemui iaitu Park Eun Joo yang berusia 29. Pada 7 September, mayat Ahn Gi Soon, wanita berusia 54 tahun ditemui sebagai mangsa ketujuh. Tidak sampai 10 hari kemudian, mayat remaja berusia 14 tahun pula ditemui.
Antara lokasi mangsa ditemui.
Salah seorang mangsa.
Ribuan Suspek Disiasat
Selepas mayat remaja 14 tahun itu, tiada lagi mayat baru ditemui dalam waktu terdekat. Siasatan terus dijalankan. Kes tersebut bukan saja membabitkan penglibatan anggota polis paling ramai, malah lebih kurang 20 ribu orang suspek telah ditahan. Lebih 40 ribu individu telah diambil cap jari mereka, 570 sampel darah dan 180 sampel rambut telah dihantar untuk analisis. Sayangnya, ia masih gagal memberi sebarang petunjuk.
Dua tahun kemudian pada 15 November 1990, mayat remaja perempuan berusia 14 tahun bernama Kim Mi Jung ditemui sebagai mangsa kesembilan. Mayat ke-10 pula ditemui pada malam 3 April 1991 di kawasan pergunungan Hwaseong. Mangsanya ialah Kwon Soon Sang, wanita berusia 69 tahun.
Walau pelbagai cara dilakukan, ia gagal mengesan pembunuh bersiri itu. Semasa mayat ke-9 dan ke 10 ditemui, sampel darah dan air mani dari tempat kejadian telah dihantar ke Jepun untuk di analisis. Tetapi, tiada satu pun yang sepadan dengan semua suspek yang pernah ditahan pihak polis.
Hasil siasatan hanya sekadar mampu memberi gambaran asas pembunuh tersebut yang dikatakan seorang lelaki kurus berusia 20-an dengan ketinggian lebih kurang 170 sentimeter. Gambaran itu pula di dapati daripada salah seorang mangsa yang berjaya menyelamatkan diri.
Yoon Sung-yeo. Menjalani penjara selama 20 tahun atas tuduhan membu
Pembunuh akhirnya muncul
Di Korea Selatan, status pendakwaan sesuatu kes akan tamat selepas 15 tahun. Bermakna, tiada lagi pendakwaan atau perbicaraan untuk kes ini kerana sudah tamat tempoh (melainkan jika undang-undang baru digubal). Nasib 10 wanita yang dirogol dan dibunuh itu tidak dapat dibela apabila pembunuh mereka gagal ditangkap.
Jika diikutkan, kes pembunuhan berantai Hwaseong ini telah berakhir pada tahun 2006. Namun, polis tidak menutup kes tersebut dan masih terus menganalisis segala data terbaru berkaitan kes itu.
Hanya selepas hampir tiga dekad, akhirnya barulah pelaku kes pembunuhan Hwaseong ini terbongkar apabila seorang banduan bernama Lee Chun Jae mengaku melakukan pembunuhan tersebut pada tahun 2019.
Bukti-bukti baru dan padanan DNA telah membawa penyiasat kepada Lee Chun Jae, lelaki berusia 56 tahun yang sedang menjalani hukuman penjara seumur hidup di Busan kerana telah merogol dan membunuh adik iparnya pada tahun 1994.
Lakaran wajah pembunuh yang dilukis pada hujung 1980-an berdasarkan maklumat saksi.
Apabila ditanya, mengejutkan apabila Lee Chun Jae mengaku telah merogol dan membunuh mangsa-mangsa tersebut. Bahkan, bukan hanya di Hwaseong, dia mengaku turut membunuh beberapa wanita lain di sekitar bandar berdekatan.
Pengakuannya itu juga secara tidak langsung telah membuktikan seorang lelaki yang dikenali sebagai Yoon tidak bersalah setelah dipenjara selama 20 tahun atas tuduhan membunuh salah seorang mangsa pada tahun 1998, sedangkan bukti yang dikaitkan terhadapnya tidak kukuh.
Siapa Lee Chun Jae?
Lelaki ini berkahwin pada tahun 1991 dan mempunyai seorang anak lelaki, berpindah tinggal di Cheongju kampung halaman isterinya. Tahun 1993, isterinya pergi meninggalkannya. Pada tahun 1994 pula, Lee Chun Jae telah merogol dan membunuh adik iparnya yang baru berusia 18 tahun.
Jika diikutkan, Lee Chun Jae sudah biasa merogol dan membunuh mangsanya sebelum itu, berdasarkan kes berantai Hwaseong yang berlaku sebelum adik iparnya itu dibunuh. Cuma, dia berjaya ditangkap dan dihukum hanya atas jenayah yang dilakukan terhadap adik iparnya sahaja.
Segala perbuatannya sebelum itu hanya terbongkar pada tahun 2019. Lee Chun Jae bukan hanya mengaku perbuatannya, malah turut meminta maaf kepada semua orang yang telah menderita angkara kejahatan yang dilakukannya.
Lee Chun Jae pada tahun 2019
Jika diikutkan, Lee Chun Jae tidak akan diadili atas perbuatan jenayahnya di Hwaseong kerana jangka had undang-undang tersebut telah berakhir pada tahun 2006. Namun, ahli keluarga mangsa dan rakyat Korea Selatan masih bersyukur kerana dia tidak lepas bebas, masih tetap di penjara kerana kes pembunuhan adik iparnya.
Sekurang-kurangnya, misteri dan tanda tanya tentang pelaku pembunuhan berantai Hwaseong sudah terlerai walaupun mengambil masa yang begitu lama untuk diselesaikan.
Sumber: Utusan TV
|