Gambar hiasan.
HAVANA: Seramai 13 askar Cuba dilaporkan hilang selepas beberapa letupan menggegarkan sebuah depot senjata dan peluru di wilayah timur Holguin, menurut kenyataan angkatan tentera Cuba, semalam.
Letupan berkenaan berlaku di bandar kecil Melones, iaitu 724 kilometer (km) di selatan dan timur Havana, awal pagi semalam. Pegawai sebelum ini menyatakan letupan itu berpunca daripada kebakaran di tapak pembinaan.
Pihak berkuasa memaklumkan kes terbabit masih dalam siasatan.
Angkatan tentera Cuba melaporkan empat pegawai dan sembilan askar adalah antara yang hilang.
Video di media sosial menunjukkan kepulan asap hitam dan api menjulang di atas garisan hutan berhampiran Melones.
Askar dan polis tempatan mengawal laluan masuk ke lokasi kejadian sementara pasukan penyelamat dan bomba berusaha memadamkan api.
Pegawai semalam memaklumkan seramai 361 orang sudah dipindahkan ke lokasi selamat susulan letupan berkenaan. - REUTERS
|