Jack buat hal lagi, pecah pejabat pula selepas 3 bulan keluar jel
Oleh Zuliaty Zulkiffli - Jun 1, 2025 @ 12:24pm

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan (tengah) menunjukkan barangan rampasan selepas menahan Geng Jack. - Foto NSTP/Zuliaty Zulkiffli
SUNGAI PETANI: Seorang lelaki yang baru keluar penjara tiga bulan lalu tidak serik apabila sempat mencari anggota baru untuk melakukan kegiatan pecah premis perniagaan dan pejabat di daerah ini.
Lelaki berusia 30 tahun yang dikenali sebagai Jack itu yang mempunyai 36 rekod jenayah dan 11 rekod berkaitan dadah termasuk satu kes dikehendaki polis.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata semua suspek lelaki berusia 29 hingga 52 tahun ditahan dalam dua serbuan berasingan menerusi Ops Pintu, Rabu lalu.
"Geng ini menggunakan modus operandi dengan memakai baju sebuah syarikat utiliti untuk pecah masuk premis perniagaan dan pejabat pada malam atau awal pagi," katanya dalam sidang media hari ini.
Hanyan berkata, susulan tangkapan suspek Geng Jack ini, polis dapat menyelesaikan 15 kes termasuk kes pecah pejabat, pecah masuk tadika dan kes pecah masuk restoran makanan Jepun di daerah ini serta kes pecah rumah sarang burung walit di kawasan Sungai Dua, Pulau Pinang.
Suspek turut meleraikan peti besi yang mengandungi wang tunai di sebuah tadika yang dipecah masuk untuk dijual kepada kedai besi buruk.
Dalam serbuan itu, turut dirampas sebuah beg, wang tunai RM833, wang tunai pelbagai negara (nilainya RM1,455), empat topi besbal, beg tangan, duit syiling, pelbagai jenis kunci, lima buah telefon bimbit, sebuah komputer riba, beberapa baju syarikat utiliti.
"Jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan hampir RM40,000," katanya.
https://www.bharian.com.my/berita/kes/2025/06/1403276/jack-buat-hal-lagi-pecah-pejabat-pula-selepas-3-bulan-keluar-jel
|