Georgetown: Pulau Pinang giat meneroka pasaran alternatif di Asia dan Eropah bagi mengurangkan kebergantungan terhadap Amerika Syarikat (AS) susulan kebimbangan terhadap dasar perdagangan AS termasuk langkah mengenakan tarif sebanyak 24 peratus ke atas produk Malaysia.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow menekankan kepentingan bagi negeri itu untuk menjadikannya kekal berdaya saing terutama dalam situasi dasar geopolitik dan perdagangan yang sentiasa berubah di bawah pentadbiran semasa Presiden AS, Donald Trump.
Menurutnya, ini kerana Pulau Pinang antara negeri paling berpotensi terkesan dengan pelaksanaan tarif timbal balik disebabkan AS adalah negara kedua tertinggi dalam senarai eksport Pulau Pinang dengan nilai RM76 bilion.
"Nilai itu bersamaan 17 peratus dari keseluruhan nilai eksport negeri pada 2023, malah negara tersebut juga rakan dagangan utama kepada Pulau Pinang dengan lebihan dagangan bernilai RM57.7 bilion pada tahun lalu.
"Situasi kenaikan tarif menyebabkan pembelian dan pesanan dari AS menjadi perlahan sehingga dikhuatiri perniagaan pemain-pemain industri di Pulau Pinang menjadi kurang berdaya saing seterusnya memberi tekanan dan menggugat kesinambungan perniagaan pemain industri dalam ekonomi negeri
"Justeru, pelaksanaan tarif itu dikhuatiri bakal memberi impak serius kepada Pulau Pinang," katanya ketika menjawab soalan Gooi Hsio Leong (PKR-Bukit Tengah) berhubung kesan tarif AS terhadap Pulau Pinang dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) Pulau Pinang, hari ini.
Kon Yeow berkata, perkembangan itu turut dijangka akan mendorong pemindahan kilang-kilang AS keluar dari Pulau Pinang berikutan kenaikan tarif, namun beliau percaya perpindahan itu tidak akan berlaku serta-merta.
Menurutnya, syarikat-syarikat berasaskan eksport juga dilihat menyemak semula unjuran keuntungan masing-masing, selain meneroka penjajaran semula rantaian bekalan bagi menghadapi ketidaktentuan ini.
Katanya, InvestPenang sentiasa menjalankan misi pelaburan ke Jepun, Korea Selatan, Taiwan, China, Eropah dan Singapura bagi menarik pelabur baharu.
"Justeru, Pulau Pinang perlu memanfaatkan masa yang ada untuk mempelbagaikan pasaran supaya tidak terlalu bergantung kepada satu pasaran sahaja," katanya.