CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 302|Reply: 0

Ilham tiram miyagi

[Copy link]
Post time 19-5-2025 09:39 PM | Show all posts |Read mode


BAGI pereka fesyen muda berusia 25 tahun ini, hidupan laut dari Jepun iaitu tiram diraja miyagi mempunyai rupa yang amat unik untuk dijadikan sumber inspirasi dalam karya koleksi kapsulnya.


Muhammad Hamdan Sauqie Harun berkata, hidupan laut itu mempunyai latar belakang dan cerita menarik tidak hanya daripada rupa dan rasa, tetapi penuh metafora, emosi serta makna.


Menerusi kajiannya, hidupan laut itu menceritakan kegembiraan tersirat di sebalik habitatnya yang tinggal di tempat tersembunyi dan gelap.


"Walaupun di luar kulitnya kelihatan kasar dan tidak menarik, namun di dalamnya tersembunyi isi yang lazat dan berkhasiat. Ia mengajar saya untuk melihat sesuatu perkara bukan dari rupa luaran dan menemui keindahan serta peluang yang tersembunyi di sebalik cabaran hidup.


"Selain itu, penanaman dan pemakanan tiram Jepun juga boleh melambangkan ketabahan serta harapan yang sudah berakar dalam budaya Jepun. Walaupun berdepan bencana alam dan kesukaran ekonomi, penternak tiram di negara matahari terbit itu tetap gigih menternak makanan laut berkenaan dari benih hingga boleh dituai hasilnya," katanya.


Akuinya, keunikan hidupan laut itu menarik minatnya untuk mengkaji mengenai fesyen dalam segmen seni sedia dipakai iaitu satu jalan penceritaan yang unik.


"Penghasilan koleksi kapsul ini mengambil masa kira-kira lima bulan dengan melalui pelbagai langkah. Bermula dengan pencarian tema, konsep dan kategori pakaian yang ingin dilakukan.


"Kemudian saya melakar rekaan dan kembangkan idea untuk mendapatkan rekaan yang baru. Sepanjang proses itu, saya sudah menghasilkan lebih 200 lakaran. Setiap lakaran akan dinilai dan ditambah baik sehingga mendapat rekaan akhir," katanya.


Jelasnya, selepas lakaran rekaan akhir dipilih, penghasilan sampel dan eksperimental pola dilakukan. Dalam rekaan itu dia menggunakan eksperimen pola dengan 'draping' pada 'dummy' untuk mendapatkan bentuk pada tiram miyagi.


"Pencarian material fabrik yang sesuai dan eksperimen untuk bahagian perincian serta hiasan seperti teknik 'tie and boil', 'pintuck', 'flounce' dan cetakan. Semua tekstur ini diambil daripada hasil lakaran tiram diraja miyagi.


"Gabungan bebayang yang besar dan elegan menambah dramatik dalam koleksi kapsul ini. Dari segi rona saya menekan warna nude keemasan sebagai warna utama dalam rekaan. Pastel unggu kelabu, krim dan pastel hijau mint pula sebagai warna asas daripada bahagian organ dalaman hidupan laut itu," katanya.


Jelasnya, dia memilih warna nude keemasan sebagai rona asas dalam rekaan untuk menaikkan lagi aura dalam rekaan itu.


Dari segi fabrik, Muhammad Hamdan menggunakan fabrik 'organdy' dan ia adalah sangat mencabar kerana fabrik itu nipis serta mudah koyak apabila diikat dan direbus.


"Disebabkan itu setiap kali mengikatnya, saya berhati-hati supaya tidak ada pembaziran. Selain itu, perincian 'pintuck' dan 'flounce' yang ada pada rekaan juga perlu dijahit sendiri secara manual.


"Disebabkan fabrik 'tafetta silk' ini nipis dan ringan, ia perlu dipotong beberapa lapis untuk menjadikannya tebal dan kukuh," katanya.


Tambahnya, sasaran pemakai dalam koleksi ini untuk mereka yang menghargai seni seperti artis, pertunjukan pentas dan galeri serta karpet merah. Ia lebih kepada acara yang gah dan menjadikan pemakai lain daripada yang lain dan tampil berani.


"Setiap rekaan membawa penceritaan tersendiri, bukan sekadar untuk dipakai, tetapi untuk dirasai, menyerlahkan keanggunan dan keberanian dalam bentuk yang senyap, namun penuh makna," katanya. - HARIAN METRO


This post contains more resources

You have to Login for download or view attachment(s). No Account? Register

x
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

17-6-2025 05:16 PM GMT+8 , Processed in 0.100923 second(s), 15 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list