Pulau Pinang rekod lebihan RM65.3 juta sehingga Mac
Oleh Siti Aminah Mohd Yusof - Mei 19, 2025 @ 11:05am

Chow Kon Yeow menjawab soalan lisan pada Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Ke-15 di Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang. - Foto NSTP/Mikail Ong
GEORGETOWN: Kerajaan Pulau Pinang mencatatkan kedudukan kewangan kukuh apabila merekodkan lebihan sebanyak RM65.3 juta setakat 31 Mac lalu.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, berkata lebihan itu dicapai hasil pendapatan negeri berjumlah RM268.46 juta berbanding perbelanjaan sebanyak RM203.19 juta dalam tempoh berkenaan.
Beliau yang juga EXCO Kewangan, Pembangunan Tanah dan Komunikasi negeri turut memaklumkan kedudukan semasa Kumpulan Wang Disatukan setakat 30 April lalu menunjukkan peningkatan kepada RM1.54 bilion.
"Jumlah itu merangkumi Akaun Hasil Disatukan sebanyak RM199.22 juta dan Akaun Amanah Disatukan sebanyak RM1.34 bilion. Ini menunjukkan peningkatan berbanding kedudukan pada akhir tahun kewangan 2024 yang belum diaudit iaitu RM1.38 bilion.
"Ketika itu, Akaun Hasil Disatukan mencatat RM155.94 juta manakala Akaun Amanah Disatukan adalah RM1.23 bilion," katanya pada Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Puau Pinang ke-15 di sini, hari ini.
Kon Yeow (DAP-Padang Kota) menjawab soalan lisan dikemukakan Goh Choon Aik (PKR-Bukit Tambun) berhubung penyata kewangan kerajaan negeri bagi tahun 2024 dan pendapatan dan perbelanjaan terkini bagi tahun 2025.
Mengulas lanjut, Kon Yeow berkata, bagi 2024, kerajaan negeri mengakhiri tahun kewangan dengan kurangan semasa sebanyak RM174.09 juta, iaitu lebih rendah berbanding tahun sebelumnya iaitu RM358.80 juta.
"Kurangan ini adalah hasil daripada kutipan pendapatan berjumlah RM810.46 juta, berbanding perbelanjaan mengurus RM719.55 juta dan pindahan ke Kumpulan Wang Pembangunan sebanyak RM265 juta.
"Kerajaan negeri turut menerima pendahuluan sebanyak RM100 juta daripada Kerajaan Persekutuan yang antara lain menyumbang kepada peningkatan dalam Akaun Amanah Disatukan," katanya.
Beliau berkata kerajaan negeri melaksanakan inisiatif mengenal pasti sumber hasil baharu menerusi dua bengkel iaitu Bengkel Semakan Kadar, Prosedur Kutipan Hasil dan Isu Tunggakan pada 2 hingga 4 Ogos tahun lalu serta Bengkel Halatuju Peningkatan Hasil Pentadbiran dan Agensi Kerajaan Negeri Pulau Pinang pada 15 hingga 18 Januari lalu.
Kon Yeow menerusi dokumen lampiran yang diedarkan kemudiannya berkata, dapatan kedua-dua bengkel itu menghasilkan 24 strategi peningkatan dan pemantapan hasil dan daripada jumlah itu sebanyak sembilan strategi sedang dalam pelaksanaan tahun ini.
Antara sembilan strategi ialah melaksanakan kutipan tunggakan cukai petak RM6 juta tahun ini selain mencadangkan lelongan tanah-tanah kerajaan contohnya membabitkan tanah yang dilucut hak di bawah Seksyen 100 Kanun Tanah Negara (KTN) atau tanah milik kerajaan bernilai tinggi dan berpotensi untuk dilelong.
Langkah yang digariskan termasuk semakan semula kadar lesen minuman keras dengan surat cadangan kenaikan bertarikh 22 Januari 2025 telah dihantar kepada Kementerian Kewangan selain meningkatkan caj rawatan pembedahan, jualan ubat dan perkhidmatan haiwan seperti kadar bayaran yang telah diluluskan dalam Warta Kerajaan Pulau Pinang.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2025/05/1397681/pulau-pinang-rekod-lebihan-rm653-juta-sehingga-mac
|