Alor Setar: Impian Aifaa Danial Daud, 22, mahu bergelar pemain bola sepak hanya tinggal harapan selepas disahkan menghidap kanser Classical Hodgkin Limphoma tahap empat pada 2019.
Danial berkata, sejak itu keadaan buah pinggangnya bengkak apabila sel kanser merebak sehingga ke tulang belakang.
Menurutnya, dia hanya mengetahui menghidap kanser selepas menjalani pemeriksaan di hospital apabila terdapat kelenjar di bahagian leher.
"Saya mendapat rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini, tetapi kanser datang semula tahun ini sehingga menyerang buah pinggang serta tulang belakang.
"Sebelum ini, saya terpaksa berhenti sekolah dan tidak sempat menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ketika itu kerana perlu mengutamakan rawatan terlebih dahulu," katanya ketika ditemui di rumahnya di Keda Batu 13, Jalan Kuala Nerang, di sini, hari ini.
Menurutnya, sejak sel kanser menyerang semula, dia sudah menjalani dua kali pusingan kemoterapi.
Katanya, walaupun agak meletihkan, namun dia menggagahkan diri kerana tidak tahan menanggung sakit di bahagian belakang badan.
"Saya rasa kesakitan ditanggung ini membebankan ibu bapa dan keluarga kerana mereka banyak berkorban untuk menjaga saya.
"Sepatutnya, saya sudah bekerja dan menjaga ibu bapa, tetapi mereka pula terpaksa berkorban demi saya. Apa pun saya harap cepat sembuh kerana saya nak kerja seperti rakan sebaya yang lain," katanya.
Menurutnya, sejak jatuh sakit, dia hanya menghabiskan masa di rumah kerana mengalami kesukaran untuk bergerak disebabkan memakai tiub saluran kencing.
Katanya, dia juga hampir berputus asa dengan keadaan dirinya apatah lagi dimaklumkan kanser dihidapinya sudah merebak ke tahap empat.
"Saya akan menjalani rawatan susulan di HSB pada Rabu ini dan masih berbaki lagi empat kali pusingan kemoterapi.
"Doktor pernah beri saya morfin untuk menahan sakit kerana sebelum ini saya terpaksa menanggung sakit teramat sangat," katanya.
Sementara itu, bapanya, Daud Ahmad, 63, berkata kehidupan anaknya yang sebelum ini ceria kini bertukar muram sejak jatuh sakit.
Katanya, ketika di sekolah dahulu, Danial seorang yang aktif dalam sukan bola sepak dan pernah memenangi banyak kejohanan.
"Kalau masuk wad di HSB, ibunya, Jama Zakaria, 59, akan menjaganya dan adakalanya bergilir dengan saya," katanya.
Katanya, wang simpanan mereka semakin susut dan hanya bergantung kepada bantuan bulanan Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) setiap bulan untuk berulang-alik ke hospital bagi mendapatkan rawatan.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menghulurkan sumbangan melalui akaun Public Bank 4956940923 atas nama Aifaa Danial Daud.
Sementara itu, Pengerusi Cancer Survivors Malaysia (CSM), Zuraini Kamal yang menziarahi Danial turut menghulurkan sumbangan wang tunai kepadanya untuk meringankan beban yang ditanggungnya.