KULIM – Seorang ibu kepada empat anak yang berstatus isteri orang dicekup berkhalwat dengan kekasihnya, seorang pemuda berusia 23 tahun di sebuah rumah di Padang Serai, di sini awal pagi ini.
Mereka ditahan dalam serbuan pencegahan jenayah syariah oleh Penguat Kuasa Pejabat Agama Daerah Kulim (PADK) di rumah sewa wanita berusia 29 tahun itu kira-kira pukul 1.45 pagi tadi.
Pegawai PADK, Anwar Sharifuddin Mat Saad berkata, serbuan dilakukan susulan maklumat awam berhubung kes jenayah syariah tersebut.
“Pihak kami mengetuk pintu sambil memperkenalkan diri dan memaklumkan tujuan kehadiran. Kira-kira lima minit kemudian seorang wanita memakai baju T dan berkain batik membuka pintu.
“Hasil pemeriksaan di dalam rumah menemui seorang lelaki yang tidak memakai baju dan hanya berseluar jeans bersembunyi di sebalik pintu,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Katanya, selepas disoal siasat, wanita itu mengaku lelaki itu adalah teman lelakinya yang baru dikenali empat bulan lalu di sebuah pasar raya, di sini.
“Pasangan itu gagal menunjukkan sebarang dokumen membuktikan mereka mempunyai hubungan suami isteri atau mahram ketika disoal siasat,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE
|