AS Johor menahan tiga individu termasuk pengarah urusan dan pengurus kilang kerana melakukan pelupusan haram. FOTO Ihsan JAS Johor.
Johor Bahru : Tiga individu termasuk pengarah urusan dan pengurus kilang ditahan dalam pemeriksaan di kawasan Perindustrian Pasir Gudang di sini, kelmarin.
Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor, Dr Mohd Famey Yusoff berkata, penahanan itu susulan aduan awam berhubung pelupusan haram buangan terjadual di gudang terbiar di kawasan terbabit.
Katanya siasatan mendapati terdapat buangan terjadual yang ditanam di kawasan semak oleh premis pembuatan minyak bahan api.
"Hasil siasatan lanjut menemukan 16 bekas bahan cecair mengandungi buangan terjadual 'SW 311' iaitu buangan minyak atau enap cemar berminyak yang distor di dalam bangunan tinggalan kilang.
"Sebanyak tiga pensampelan buangan telah dijalankan dan dianalisa Jabatan Kimia Negeri Johor," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Menurut Dr Mohd Famey, tangkapan terhadap dua lelaki dan wanita berumur 28 hingga 62 tahun itu dibuat mengikut Seksyen 37C, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan kes disiasat mengikut Seksyen 24(1) dan Seksyen 34B(1)(a) akta sama.
"Pihak industri adalah diingatkan agar sentiasa mematuhi Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Peraturan-Peraturan di bawahnya. Kegagalan pematuhan boleh menyebabkan tindakan perundangan dikenakan," katanya
|