Tiga buah rumah musnah terbakar
MOHD ISKANDAR OTHMAN
16 Mei 2025 10:16am

Anggota bomba bertungkus lumus memadamkan kebakaran, sekali gus mencegah api daripada merebak ke rumah bersebelahan.
NIBONG TEBAL – Tiga buah rumah musnah dalam satu kebakaran di Jalan Kampung Stesen di sini pada Khamis.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.18 malam sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Nibong Tebal dikejarkan ke lokasi kejadian.
Menurutnya, kebakaran melibatkan sebuah rumah jenis kelas B dengan anggaran keluasan 20 x 60 kaki persegi dan telah merebak ke dua buah rumah bersebelahan.
“Kemusnahan dianggarkan sebanyak 80 peratus bagi rumah pertama, 60 peratus bagi rumah kedua dan 40 peratus bagi rumah ketiga.
“Dengan kekuatan 18 pegawai dan anggota bersama beberapa pasukan bomba sukarela dari kawasan berhampiran, kebakaran berjaya dikawal kira-kira jam 11.46 malam,” katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.
Menurut jurucakap itu lagi, kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya pada jam 12.32 pagi dan kerja-kerja pemeriksaan menyeluruh turut dijalankan sebelum lokasi diserahkan kepada Bahagian Forensik Kebakaran (FIO) untuk tindakan lanjut.
Tambahnya, tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian tersebut.
https://www.sinarharian.com.my/article/728741/berita/semasa/tiga-buah-rumah-musnah-terbakar
|