Muhammad Azrie didakwa melakukan khianat dengan merosakkan kenderaan milik Pusat Khidmat Ahli Parlimen Sri Gading. FOTO Alias Abd Rani.
Batu Pahat: Lelaki yang merosakkan kenderaan utiliti sukan (SUV) milik Pusat Khidmat Ahli Parlimen Sri Gading, Sabtu lalu dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Muhammad Azrie Abul Hassan Ashari, 37, mengaku bersalah melakukan perbuatan itu, sebelum Majistret Arun Noval Dass menjatuhkan hukuman denda RM6,000 terhadapnya atau penjara 12 bulan jika gagal membayar denda.
Mahkamah juga memerintahkan tertuduh membayar pampasan RM5,000 kepada Pusat Khidmat Ahli Parlimen Sri Gading atau penjara empat bulan.
Bekas guru taska itu dituduh sengaja melakukan khianat dengan merosakkan kenderaan sehingga kerugian RM7,530 di Dewan Haji Aminolhuda, Parit Yaani, di sini pada 11 pagi, 10 Mei lalu.
Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.
Pendakwaan kendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Farah Wahidah Mohd Sharif manakala tertuduh diwakili peguam Tan Song Yan.
Sementara itu, Ahli Parlimen Sri Gading, Aminolhuda Hassan turut hadir bagi mendengar prosiding itu.
Sejurus selesai, tertuduh memohon kebenaran bersua muka dengan Aminolhuda untuk memohon maaf atas perbuatan dilakukan.
|