
PEMANDU Maserati warga Singapura, Muhammad Irshad Abdul Hameed mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Johor Bahru. FOTO Omar Ahmad
Johor Bahru: Pemandu Maserati warga Singapura mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, atas tuduhan menyebabkan kematian pengguna jalan raya di Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua), minggu lalu.
Tertuduh, Muhammad Irshad Abdul Hameed, 27, yang juga seorang penjawat awam di republik berkenaan membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur Fatin Mohamad Farid.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh memandu Maserati di jalan raya dengan cara berbahaya kepada pengguna jalan raya lain sehingga menyebabkan kematian A Vasanthraj, 32.
Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu pada jam 6.40 petang di Kilometer 0.6 Lebuhraya Linkedua, di sini, pada 9 Mei lalu.
Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 10 tahun dan denda tidak lebih RM50,000.
Lelaki itu juga boleh hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu tempoh tidak kurang lima tahun dari tarikh sabitan selain lesen memandu diendors oleh mahkamah.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Amirah Tasnim Saleh manakala tertuduh diwakili peguam Baharudin Baharim dan Zarina Ismail Tom.
Pihak pendakwaan mencadangkan kepada mahkamah satu jaminan yang tinggi berjumlah RM20,000 dengan dua penjamin warga tempatan selain syarat tambahan perlu melapor diri ke balai polis berhampiran sebulan sekali dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Baharudin dalam hujahnya memohon jaminan munasabah terhadap anak guamnya yang mempunyai tanggungan ibu tunggal penghidap kanser serta adiknya yang masih belajar.
Baharudin turut memohon pengecualian pasport tidak diserahkan kepada mahkamah kerana tertuduh memerlukan pasport untuk menjalankan kerja seperti biasa sebagai penjawat awam di republik itu.
Sementara itu, Zarina menambah bahawa anak guamnya juga tidak mempunyai rekod jenayah dan tidak mempunyai risiko untuk melarikan diri, serta bersedia memberi kerjasama dengan melapor diri ke balai polis di Johor setiap bulan.
Amirah Tasnim bagaimanapun berkata, sekiranya mahkamah membenarkan tertuduh tidak menyerahkan pasport kepada mahkamah, beliau memohon jaminan yang tinggi dikenakan.
Mahkamah kemudian menetapkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM12,000 dengan dua penjamin warga tempatan.
Selain perlu melapor diri ke balai polis berhampiran sebulan sekali dan lesen memandunya digantung.
Mahkamah juga menetapkan 10 Jun depan sebagai sebutan semula dan untuk serahan dokumen.
|