Sungai Petani: Dia bukanlah orang senang, namun kerana sifat suka membantu membuatkan Zuhdi Mohd Zukri tidak lokek berkongsi walaupun hanya dengan sekecil-kecil sumbangan.
Baru-baru ini, pemandu lori yang berusia 28 tahun itu membantu remaja mualaf dikenali Amir, 17, yang terdesak memerlukan wang untuk menyara kehidupannya dan empat adik.
Kisah itu dikongsikan Zuhdi di media sosial hingga ada insan prihatin yang tampil menawarkan pekerjaan kepada Amir, sekali gus melegakannya.
Menurut Zuhdi, Amir datang ke rumahnya di Taman Seruling, di sini kira-kira 5 petang, Khamis lalu dan menawarkan khidmat untuk melakukan apa sahaja kerja demi mendapatkan upah.
"Ketika itu hujan dan saya pula baru sampai rumah dari tempat kerja. Amir beri salam dari luar pagar dan beritahu dia datang bukan untuk minta sedekah.
"Sebaliknya bertanya jika ada kerja untuk dia buat kerana mahu upah buat beli gas, telur dan makanan empat adiknya di rumah.
"Saya mulanya tidak tahu mahu beri dia kerja apa kerana mengejut. Saya bincang dengan isteri.. disebabkan kasihan, kami sepakat minta Amir bersihkan halaman rumah dan cuci kereta.
"Selepas siap kerja, saya minta Amir berteduh dulu di rumah saya sebelum memberinya upah. Kehadirannya sebenarnya ujian buat saya, sama ada nak tolong orang waktu kesusahan atau sebaliknya. Saya bersyukur kerana dapat bantu ringankan bebannya," katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Menurutnya, Amir berulang kali mengucapkan terima kasih selepas menerima upah itu dan dia juga sempat bersembang mengenai latar belakang remaja berkenaan.
"Amir kata dia mualaf, pernah belajar di tahfiz dan anak sulung. Buat masa ini dia kena jaga adik-adiknya kerana emaknya yang juga ibu tunggal kerja di Pulau Pinang.
"Dia tak ada kenderaan dan terpaksa pinjam motosikal kawan sebab nak cari kerja. Puas juga dia mencari tapi sukar dapat sebab masih bawah umur dan pernah ada yang tolak kerana penampilannya," katanya.
Zuhdi mengakui pada awalnya dia tidak bercadang memuatnaik video pertemuan dengan Amir, tetapi mengenangkan mungkin lebih ramai orang yang akan membantu sekiranya dia berkongsi kisah berkenaan.
"Alhamdulillah, rezeki Amir apabila ada pengurus kedai pakaian terpakai di bandar ini nampak video saya dan menawarkannya kerja.
"Semalam, Amir sudah mula kerja di kedai itu dan syukur sangat dapat bantu Amir," katanya yang memberitahu dia sentiasa sedia membantu mereka yang memerlukan mengikut kemampuannya.
Menurutnya, sejak empat tahun lalu dia sudah memulakan usaha membantu orang kurang bernasib baik dengan mengumpul dana dalam kalangan adik-beradik bagi membeli makanan buat anak yatim dan gelandangan.
"Kemudian, saya teruskan dengan cari sumbangan daripada kawan untuk beli keperluan buat dihantar ke rumah anak yatim. Seronok apabila dapat bantu serta gembirakan mereka," katanya.