KEPALA BATAS: Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Kepala Batas, di sini, secara rasminya dinamakan MRSM Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai penghargaan besar terhadap jasa Perdana Menteri kelima itu.
Penamaan baharu itu disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, pada Majlis Pemasyhuran MRSM Tun Abdullah Ahmad Badawi, hari ini.
Hadir sama ialah anak lelaki Allahyarham, Tan Sri Kamaluddin Abdullah; Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki; dan Ahli Parlimen Kepala Batas, Dr Siti Mastura Muhammad.
Kamaluddin berkata, mereka sekeluarga berterima kasih atas penghormatan dan juga penghargaan diberikan semua pihak terhadap Allahyarham dengan memberikan nama MRSM Tun Abdullah Ahmad Badawi.
"Penghormatan ini lebih bermakna apabila di sini (Kepala Batas) adalah kampung halamannya (Abdullah)... tempat beliau dibesarkan, diasuh dan dididik, malah di sini arwah ayah, ibu dan nenda beliau disemadikan. Berbakti kepada rakyat Kepala Batas sebagai wakil rakyat lebih tiga dekad.
"Malah, Dewan Dato' Abdul Fatah yang kita berada pada hari ini... (Abdul Fatah) adalah sahabat karib Pak Lah (Abdullah) sejak kecil lagi. Allahyarham sangat menyanjungi orang yang berada di sekelilingnya," katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.
Pada 29 Mac 2009, Abdullah menyempurnakan majlis perasmian MRSM Kepala Batas. MRSM itu terletak dalam kawasan Parlimen yang pernah diwakili Allahyarham selama tujuh penggal dari 1978 hingga 2008.
Antara legasi terbesar Allahyarham dalam pendidikan MARA ialah pengukuhan sistem pendidikan dualistik yang menggabungkan ilmu duniawi dan ukhrawi sebagai asas kepada program Ulul Albab di MRSM.
Hingga kini, MARA memiliki lapan MRSM Ulul Albab di seluruh negara hasil cetusan idea Allahyarham.
Abdullah menghembuskan nafas terakhir pada usia 85 tahun di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur, 14 April lalu.
MRSM Tun Abdullah Ahmad Badawi terletak di kawasan Parlimen Kepala Batas yang pernah diwakili Allahyarham selama tujuh penggal dari 1978 hingga 2008.