Lelaki maut, motosikal dilanggar van kilang buat pusingan U secara tiba-tiba
Oleh Zuliaty Zulkiffli - Mei 12, 2025 @ 8:32am

Kemalangan membabitkan sebuah motosikal dan sebuah van kilang di Jalan Titi Karangan-Baling yang menyebabkan penunggang motosikal maut di lokasi kejadian. - Foto PDRM
KULIM: Tindakan pemandu sebuah van kilang yang membuat pusingan u secara tiba-tiba di Jalan Titi Karangan -Baling di sini semalam menyebabkan seorang penunggang motosikal maut di tempat kejadian, semalam.
Dalam kejadian itu, mangsa, Engku Ahmad Nasaei Engku Muhammad, 21, beralamat di Kok Lanas, Ketereh, Kelantan meninggal dunia akibat kecederaan di bahagian kepala dan kaki manakala pemandu van kilang berusia 52 tahun itu pula mengalami kecederaan pada tulang rusuk kanan.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Zulkifli Azizan berkata, pihaknya menerima laporan polis berhubung kejadian kemalangan itu pada jam 5.17 petang membabitkan sebuah van kilang dengan sebuah motosikal jenis Yamaha Y125.
Beliau berkata, siasatan awal dilakukan di lokasi kejadian mendapati, kemalangan berlaku pada jam kira-kira 4.15 petang.
Katanya, penunggang motosikal itu dan van kilang terbabit dari arah sama iaitu Hitech menghala ke Baling.
"Apabila sampai di tempat kejadian, van kilang itu secara tiba-tiba melakukan pusingan u lalu berlaku perlanggaran dengan motosikal berkenaan.
"Selepas perlanggaran berlaku, penunggang motosikal itu terjatuh di atas jalan bertentangan dan akibat dari kemalangan itu, mangsa mengalami kecederaan di bahagian kepala.
"Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu van yang mengakami cedera di bahagian tulang rusuk sebelah kanan itu menerima rawatan di Zon Kuning Hospital Kulim," katanya ketika dihubungi hari ini.
Zulkifli berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Kulim untuk dibedah siasat.
"Pemandu van kemudian diambil sampel darah dan air kencing untuk dihantar ke Jabatan Kimia," katanya.
https://www.bharian.com.my/berita/kes/2025/05/1394927/lelaki-maut-motosikal-dilanggar-van-kilang-buat-pusingan-u-secara-tiba
|