Edited by sfhzuraz at 11-5-2025 12:27 AM
Kilang tilam, kitar semula musnah dalam kebakaran
SYAJARATULHUDA MOHD ROSLI
11 Mei 2025 12:06am

BUTTERWORTH - Dua buah kilang masing-masing kilang tilam dan kilang kitar semula musnah dalam satu kebakaran yang berlaku di Kawasan Perindustrian Sungai Rokan, Kampung Tok Sani, Jalan Bagan Lalang di sini.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Pulau Pinang, Mohamad Shoki Hamzah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.01 malam sebelum jentera pertama tiba di lokasi 12 minit kemudian.
Menurutnya, kebakaran melibatkan dua buah premis masing-masing berkeluasan 170 x 70 kaki persegi dan dipercayai menyimpan bahan kimia.
“Anggaran kemusnahan adalah 60 peratus bagi kilang tilam dan 70 peratus untuk kilang kitar semula.
"Bagaimanapun, tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu. ]
Menurut beliau, operasi memadam api dikawal pada jam 10.51 malam dan masih diteruskan ketika ini dengan bantuan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Butterworth, Jalan Perak, Perai dan Sungai Bakap.
"Operasi turut dibantu pasukan bomba sukarela berhampiran.
"Sebanyak enam jentera termasuk Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) dan Insentif Rawatan Kecemasan (EMRS) bersama 31 anggota terlibat dalam operasi pemadaman.
Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan," katanya.
https://www.sinarharian.com.my/article/727779/berita/semasa/kilang-tilam-kitar-semula-musnah-dalam-kebakaran
|