Kalau ada yang tak kena beritahu, jangan aniaya saya - Faisal
Oleh Siti Aminah Mohd Yusof - Mei 10, 2025 @ 12:44pm

Faisal ketika ditemui pemberita pada Kejohanan Terbuka U12 Piala Faisal Halim 2025 di Mengkuang Titi, Kubang Semang sini, hari ini. Foto STR/AMINAH YUSOF
BUKIT MERTAJAM: "Kalau ada yang tak kena dengan saya beritahu pada saya jangan aniaya saya."
Itu luahan pemain sayap sensasi Selangor FC, Faisal Halim susulan kes disimbah asid yang diklasifikasikan sebagai diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).
Faisal berkata, walaupun masih dihimpit rasa kecewa anak jati Pulau Pinang itu mahu terus memberi tumpuan penuh terhadap perjalanan kerjayanya dan menyerahkan sepenuhuhnya urusan kes itu kepada pihak berkuasa.
Katanya, dia reda dengan suratan takdir namun jauh daripada sudut hatinya, dia sendiri tertanya-tanya adakah dirinya sudah menerima sepenuhnya keadaan itu seiring perkembangan terbaharu kes berkenaan.
"Sudah tentu saya sebagai mangsa rasa kecewa tapi apa yang saya boleh katakan benda sudah lepas, perkara sudah berlaku, saya terima dengan hati terbuka, saya reda.
"Saya rasa ini adalah ruang untuk saya kembali semula saya hanya mahu fokus untuk untuk dalam kerja saya dan saya tak nak fikir lagi (mengenai) NFA terpulang itu semua tanggungjawab pihak polis.
"Daripada pihak saya, saya pun tak tahu, saya tak pasti sama ada saya boleh terima dengan keadaan ini," katanya ketika ditemui pemberita pada Kejohanan Terbuka U12 Piala Faisal Halim 2025 di Mengkuang Titi, Kubang Semang sini, hari ini.
Faisal yang mesra disapa sebagai Mickey berkata, dia membina kerjaya sebagai pemain bola sepak sejak kecil bukan untuk mengejar kesenangan tetapi memburu impiannya menjadi pemain terbaik demi negara.
"Saya rasa kalau kita ada buat salah silap, kita beritahulah daripada buat saya macam ini (simbah asid) saya ada keluarga untuk ditanggung karier yang kejar daripada kecil.
"Saya orang kampung, kampung...rumah saya di sini, saya menjadi pemain bola sepak bukan untuk mengejar kesenangan tapi mengejar kejayaan untuk menjadi pemain terbaik," katanya.
Khamis lalu, media melaporkan, peguam yang mewakili Faisal, Nik Zarith Nik Moustpha dalam satu sidang media memaklumkan kes serangan simbah asid ke atas anak guamnya diklasifikasikan sebagai NFA.
https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2025/05/1394340/kalau-ada-yang-tak-kena-beritahu-jangan-aniaya-saya-faisal
|