
MIRI: Tindakan pantas pasukan bomba berjaya menyelamatkan sebuah kedai alat ganti kenderaan daripada musnah dalam kebakaran di Jalan Jee Foh, Krokop 7 di sini pagi ini.
Menurut jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, pihaknya telah menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 11.48 pagi.
Berikutan itu, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Miri Sentral telah dikerah ke lokasi yang sejauh enam kilometer dari balai.
"Setibanya di tempat kejadian, pasukan keluaran operasi (PKO) mendapati benar berlaku kebakaran melibatkan sebuah bangunan jenis kekal tiga tingkat yang merupakan kedai menjual alat ganti kereta.
"Manakala kebakaran yang berlaku di tingkat dua bangunan tersebut yang berkeluasan 30 x 40 kaki persegi melibatkan kerosakan 40 peratus kesan asap dan haba," katanya dalam satu kenyataan.
Setelah komander operasi membuat penilaian situasi, seterusnya mengarahkan anggota operasi membuat pemadaman menggunakan sumber air dari pili bomba berhampiran sehingga kebakaran dapat dipadamkan sepenuhnya
"Teknik pemadaman secara ofensif digunakan terus ke punca api dan kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 12.13 tengah hari," katanya sambil memberitahu, tiada kematian atau kecederaan dilaporkan dalam insiden itu.
Setelah memastikan keadaan benar selamat, PKO bertolak balik ke balai dan tugas seterusnya diserahkan kepada Unit Forensik Kebakaran untuk menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca kejadian.
Operasi melibatkan kekuatan seramai 14 anggota dari BBP Miri Sentral dan BBP Lopeng, dibantu dua jentera FRT dan dua unit EMRS.
Turut hadir di lokasi ialah seorang pegawai dan sembilan anggota polis termasuk sebuah unit MPV bagi kawalan keselamatan.
|