
Peter bergambar bersama gambar mendiang James Ritchie semasa memberi penghormatan terakhir kepada mendiang.
KUCHING: Kurniakan gelaran Datuk kepada wartawan veteran, mendiang James Ritchie sebagai tanda penghormatan atas dedikasinya yang tidak berbelah bagi kepada kebenaran dan perkhidmatannya melalui dunia kewartawanan di sini.
Demikian gesa aktivis hak asasi Sarawak Peter John Jaban dalam satu kenyataan kepada pemberita hari ini.
“Dengan segala hormatnya kami menggesa kerajaan negeri dan Yang di-Pertua Negeri Sarawak untuk mempertimbangkan penganugerahan gelaran Datuk kepada wartawan veteran James Ritchie sebagai mengiktiraf perkhidmatan dan sumbangan cemerlang beliau kepada Sarawak dan Malaysia,” katanya.
Tambahnya lagi, selama lebih empat dekad, mendiang telah berkhidmat dengan cemerlang sebagai wartawan, penulis dan pendokumentari.
“Komitmen mendalam beliau untuk mencatat kisah rakyat Sarawak yang pelbagai — daripada komuniti orang asli hinggalah pemimpin negara — telah mengekalkan bahagian penting dalam rekod budaya dan sejarah kita.
“Hasil kerja beliau bukan sahaja telah memaklumkan kepada orang ramai tetapi juga memupuk perpaduan, persefahaman dan kebanggaan yang lebih besar terhadap warisan Sarawak yang kaya.
“Dedikasi James Ritchie terhadap kebenaran, integriti dan penceritaan telah menyebabkan dia dihormati daripada semua lapisan masyarakat, juga melalui usaha gigihnya di lapangan, selalunya dalam keadaan yang mencabar, beliau telah menunjukkan etika kewartawanan yang baik.
“Laporannya telah merapatkan komuniti dan membawa perhatian negara kepada isu dan suara unik Sarawak,” ujarnya.
Berdasarkan sumbangan sepanjang hayat ini, adalah wajar James Ritchie diberi penghormatan secara rasmi dengan anugerah negeri yang sesuai dengan usahanya itu, tegas Peter.
Lagipun, gelaran Datuk bukan sahaja sebagai pengiktirafan peribadi terhadap perkhidmatannya selama berdekad-dekad tetapi juga penghormatan kepada peranan kritikal media dalam pembinaan negara.
Oleh itu, kami dengan rendah hati merayu kepada pihak berkuasa yang berkenaan untuk menganugerahkan James Ritchie penghormatan yang sewajarnya ini, tambahnya.
|