CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 58|Reply: 0

[Sarawak] Jalan balak dinaik taraf jadi jalan negeri

[Copy link]
Post time 30-4-2025 09:50 AM | Show all posts |Read mode
Membolehkan peruntukan penyelenggaraan dinaikkan kepada RM3,000 setiap kilometer di bawah MARRIS



Cassidy (dua kanan) menyampaikan cenderamata kepada Uggah pada majlis tersebut hari ini sambil disaksikan Rosey (dua kiri) dan yang lain.

MIRI: Bekas jalan balak di Ulu Baram yang kini diklasifikasikan sebagai jalan kampung akan dinaik taraf kepada jalan negeri bagi membolehkan peruntukan penyelenggaraan dinaikkan kepada RM3,000 setiap kilometer di bawah Sistem Maklumat Rekod Jalan Malaysia (MARRIS).

Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan (MIPD) Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, peruntukan semasa di bawah MARRIS untuk jalan kampung hanya RM1,000 setiap kilometer dan ini tidak cukup untuk menyelenggara jalan-jalan balak berkenaan.

"Matlamat utama adalah untuk mewujudkan satu sistem penyelenggaraan yang mantap.

"Ketika ini, kita sudah melaksanakan satu model projek perintis, di mana tiga syarikat telah dilantik untuk menyelenggara jalan bekas balak ini.

"Setiap syarikat diperuntukkan RM5 juta, namun masih banyak yang perlu diperbaiki," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan majlis pecah tanah Jambatan Kampung Bulau di Bekenu, hari ini.

Terdahulu, Uggah ditanya mengenai pendirian kerajaan negeri berhubung isu bekas jalan balak dan jalan balak semasa di Ulu Baram yang menerima kritikan hebat di media sosial kerana usang dengan banyak bahagian jalan yang rosak teruk serta jambatan runtuh.

Uggah memberitahu kerajaan negeri sedar akan isu infrastruktur di Ulu Baram dan mengakui bahawa masalah di kawasan itu adalah serius.
"Bagi kami di Gabungan Parti Sarawak (GPS), kita mesti mencari penyelesaian.

"Kita telah mengadakan perbincangan dengan wakil rakyat serta jabatan seperti Jabatan Kerja Raya (JKR) dan lain-lain untuk memahami keadaan dengan lebih baik.

"Hasil daripada perbincangan ini, kita akan membentangkan satu kertas kerja kepada Kabinet mengenai prosedur penyelenggaraan kawasan tersebut, termasuk banyak jambatan yang uzur dan usang," katanya.

Beliau menegaskan bahawa sudah tiba masanya kerajaan negeri mengambil tindakan dalam menangani cabaran utama infrastruktur terutama jalan dan jambatan di kawasan Baram.

Uggah berkata, kertas kerja tersebut dijangka akan dibentangkan pada Jun nanti.

"Jika mesyuarat Kabinet diadakan pada Mei, maka kita akan bentangkan ketika itu dan selepas itu pengumuman akan dibuat," tambahnya.

Beliau turut menyatakan bahawa kerja-kerja penyelenggaraan infrastruktur di kawasan pedalaman seperti Baram amat mencabar disebabkan bentuk muka bumi berbukit bukau, hujan lebat dan kerap banjir.

Sehubungan itu, beliau berkata banyak jambatan kayu yang dibina oleh syarikat pembalakan kini tidak lagi kukuh dan membahayakan keselamatan penduduk luar bandar yang bergantung kepada jambatan-jambatan itu.

“Ini antara tugas utama yang sedang ditangani oleh JKR,” tambahnya.

Hadir sama ialah Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-Kanak merangkap ADUN Bekenu Datuk Rosey Yunus, Pengarah Kerja Raya Sarawak Dr Cassidy Morris, Pegawai Daerah Subis Norlila Ulis serta ketua jabatan, ketua masyarakat dan ketua kaum setempat.


Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

22-5-2025 07:35 PM GMT+8 , Processed in 0.047118 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list