
Rodiyah menyampaikan duit raya kepada penerima pada Majlis Ramah-Tamah Aidilfitri Peringkat IPD Simunjan semalam. - Gambar UKAS
KUCHING: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Simunjan disenaraikan dalam Pelan Tindakan Pembangunan Strategik Polis Diraja Malaysia (PDRM) 2021-2025 untuk dinaik taraf.
Ahli Parlimen Batang Sadong Rodiyah Sapiee berkata cadangan menaik taraf fasiliti keselamatan itu telah dimasukkan dalam Rolling Plan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Menurutnya cadangan menaik taraf IPD Simunjan, seiring dengan dunia yang semakin mencabar dan pembangunan pesat berlaku khasnya di kawasan itu.
“Kita mahu sebuah balai polis yang lebih moden, kondusif dan mampu memenuhi keperluan keselamatan yang semakin meningkat,” katanya semasa berucap pada Majlis Ramah-Tamah Aidilfitri Peringkat IPD Simunjan di Simunjan semalam.
Rodiyah berkata pertanyaan mengenai penyenaraian IPD Simunjan dalam projek penaiktarafan di bawah RMK13 telah dikemukakan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Menurutnya ketika ini KDN dan PDRM dalam proses mengenal pasti lokasi serta menyelesaian isu berkaitan tanah dengan Kerajaan Sarawak.
Sehubungan itu, Rodiyah meminta Ketua Polis Daerah Simunjan mengemukakan semula kertas cadangan naik taraf kepada pihaknya dan memberi jaminan akan terus memperjuangkan cadangan tersebut agar mendapat perhatian serius KDN.
“Saya juga menyarankan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia mengemukakan kertas kerja bagi menaik taraf Balai Bomba Simunjan supaya tidak terlepas peluang dalam RMK13,” tambahnya.
Hadir sama di majlis itu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan Awla Dris, Pegawai Daerah Simunjan Sanuyah Mohamad dan Ketua Polis Daerah Simunjan DSP Rafhan Kepli.
|