
Dr Tamoi (empat kiri) menyerahkan buku Program Bicara Ilmu kepada Doris (empat kanan) sambil disaksikan Ahli Lembaga Koperasi (ALK) serta ketua kaum yang hadir.
KUCHING: Penganjuran Program Bicara Ilmu Potensi Penglibatan Koperasi Luar Bandar dalam Projek Ternakan Ayam Penelur dijangka memberi pendedahan berguna kepada penduduk di kawasan pedalaman, khususnya berkaitan aspek keselamatan makanan serta peluang ekonomi.
Ahli Parlimen Sri Aman Datuk Seri Doris Sophia Brodie berkata, program yang bakal berlangsung pada 9 Mei itu penting bagi memperkenalkan potensi perniagaan melalui koperasi kepada masyarakat luar bandar, khususnya di kawasan Sri Aman.
"Sekarang, kita sangat mementingkan keselamatan makanan. Oleh itu, ilmu yang bakal dikongsikan oleh pemberi latihan ini sangat berguna kepada penduduk kawasan pedalaman.
"Tambahan pula, jika kita menternak ayam penelur, kita bukan sahaja memperoleh sumber daging, tetapi juga boleh menjana pendapatan melalui penjualan telurnya ke pasaran.
"Ini sekali gus dapat meningkatkan ekonomi penduduk setempat dan ahli-ahli koperasi," katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan hormat daripada Koperasi Kampung Tuba Simunjan Berhad (KKTSB) di ibu pejabatnya di Tabuan Jaya, semalam.
Untuk rekod, program tersebut dianjurkan oleh Institut Koperasi Malaysia (IKMA) Cawangan Sarawak dengan kerjasama KKTSB dan dijadual berlangsung di Rumah Ngumbang Santok, Kampung Tuba.
Ini merupakan kali ketiga KKSTB menganjurkan latihan kemahiran kepada ahli dan penduduk kampung di bawah projek komuniti yang turut melibatkan kerjasama Universiti Teknologi MARA (UiTM) serta beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Doris turut memaklumkan bahawa Kampung Tuba merupakan salah satu kawasan pedalaman di bawah tanggungjawab beliau manakala KKTSB adalah satu-satunya koperasi yang aktif di Sri Aman serta antara yang berjaya di kawasan pedalaman Sarawak.
"Sebagai tanda sokongan, saya akan hadir untuk merasmikan program ini. Saya juga menyeru penduduk setempat agar tidak melepaskan peluang menimba ilmu yang boleh membuka jalan kepada peningkatan taraf hidup," katanya.
Hadir sama semasa kunjungan hormat, Pengerusi KKTSB Dr Tamoi Janggu, Ketua Kaum Tuai Rumah Ngumbang Santok dan Tuai Rumah Gura Empulu dan beberapa ahli Lembaga Koperasi yang lain.
|