
Iskandar (tiga kiri) dan isteri serta tetamu yang lain bersama para pengusaha kedai terbabit merakam gambar kenangan.
BINTULU: Semangat tinggi para pengusaha dalam bidang keusahawanan perlu dicontohi anak-anak muda di sini untuk terus maju dalam pelbagai bidang yang diceburi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak Iskandar Turkee berkata, beliau merujuk kepada semangat kental yang ditunjukkan pengusaha kedai makan dan restoran di sini iaitu Sri Kandi Cafe.
"Pengusaha ini bukan sahaja berjaya membangunkan perniagaan malah turut menjadi ikon inspirasi anak-anak muda di kawasan Jepak," katanya semasa menghadiri Majlis Ramah-Tamah Aidilfitri Sri Kandi Cafe di Kampung Baru di sini malam tadi.
Iskandar turut ditemani isterinya Dayang Loha Awang Sahari, Pegawai Khasnya Shahrezy Sulaiman dan Ketua Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Jepak Noriha Ali.
Justeru katanya, usaha gigih pengusaha itu patut disokong dan dicontohi memandangkan ia bukan sahaja membantu merancakkan ekonomi setempat bahkan telah membuka peluang pekerjaan kepada anak-anak di Jepak dan Bintulu keseluruhannya.
Terdahulu majlis yang diadakan oleh pengusaha kedai makan terbabit bertujuan menghargai para pelanggan setia, sahabat-handai serta komuniti setempat yang membantu kejayaan perniagaan kedai dan restoran terbabit.
Pelbagai aktiviti lain diadakan pada majlis itu, antaranya sesi bergambar bersama tetamu, jamuan santai serta persembahan muzik akustik oleh bakat-bakat tempatan.
|