
Ting (lima kiri) sambil disaksikan oleh Toh (empat kiri) dan yang lain ketika melepaskan peserta berbasikal dan jalan kaki sempena Hari Bumi Sedunia di Sibu, hari ini.
SIBU: Majlis Perbandaran Sibu (MPS) terus mengorak langkah proaktif dalam memperkasa kemudahan taman awam di daerah ini seiring usaha menjayakan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) menjelang 2030.
Taman Tasik Permai kini menjadi tumpuan utama bagi pelaksanaan inisiatif hijau dan mesra rakyat.
Pengerusi MPS Clarence Ting ketika berucap merasmikan sambutan Hari Bumi Sedunia anjuran MPS di taman tersebut, hari ini berkata pelbagai penambahbaikan sedang dijalankan.
Antara projek yang sedang giat dilaksanakan termasuk pembinaan tempat letak kereta baharu serta penaiktarafan laluan pejalan kaki yang lebih selesa dan selamat.
"Matlamat kami jelas untuk menjadikan taman-taman awam di Sibu bukan sahaja indah dipandang, tetapi juga inklusif untuk semua lapisan masyarakat.
"Kami berharap orang ramai menghargai dan menjaga fasiliti ini sebaik mungkin, seolah-olah ia milik sendiri,” tegasnya.
Ting (berdiri tengah) merakamkan kenangan bersama peserta yang menyertai Hari Bumi Sedunia di Sibu, hari ini.
Namun, beliau turut melahirkan rasa kecewa terhadap insiden vandalisme yang kian membimbangkan.
Justeru, beliau menyeru penduduk agar segera melaporkan sebarang kerosakan kepada pihak majlis supaya tindakan segera dapat diambil.
Menyentuh tentang SDG, Ting menjelaskan bahawa inisiatif global yang diperkenalkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sejak 2015 itu merupakan kerangka penting dalam menjayakan pembangunan yang seimbang merangkumi aspek ekonomi, sosial dan alam sekitar.
"Penghargaan harus diberikan kepada JCI Sibu kerana menjadi pelopor dalam menyemai kesedaran tentang SDG di Sibu sejak 2016. Ini merupakan langkah yang sangat bermakna," tambah beliau.
Sambutan Hari Bumi tahun ini turut mencerminkan solidariti pelbagai pihak dalam memelihara alam sekitar.
Menurut Ting, kerjasama antara agensi kerajaan, pihak swasta dan masyarakat adalah kunci dalam membentuk masa depan Sibu yang lebih hijau dan mampan.
Beliau turut mengajak orang ramai untuk melakukan perubahan kecil yang memberi impak besar dengan tidak membuang sampah merata-rata, mengurangkan penggunaan plastik dan mengamalkan kitar semula sebagai komitmen bersama dalam melindungi bumi untuk generasi akan datang.
Hadir sama, Setiausaha MPS Yong Ing Chu dan pengerusi penganjur Kaunselor Toh Yong Kiang.
|