Edited by Vellfire at 28-4-2025 10:22 AM


MAUT: Pasukan bomba ketika menjalankan operasi mengeluarkan mangsa yang tersepit di dalam kereta berkenaan.
TAWAU: Seorang lelaki maut selepas kereta yang dipandu terbabas melanggar tiang elektrik dan terbalik di Jalan Yamamoto, Kampung Jawa, di sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi itu, mangsa berusia 32 tahun mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 5.13 pagi.
Katanya, sepasukan 10 anggota dan pegawai bersama dua jentera digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi menyelamat.
“Sebaik tiba, pasukan operasi mendapati terdapat sebuah kereta telah terbabas sendiri dan melanggar tiang elektrik lalu terbalik.
“Terdapat seorang mangsa lelaki tersepit berjaya dikeluarkan melalui cermin belakang kereta, namun disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.
Menurutnya, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan selanjutnya.
“Setelah memastikan tiada bahaya lain yang wujud di lokasi, pasukan bomba menamatkan operasi pada jam 5.54 pagi,” katanya.
|