CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 40|Reply: 0

[Sarawak] Pendermaan organ di Sarawak masih rendah

[Copy link]
Post time 28-4-2025 10:03 AM | Show all posts |Read mode


Chieng (kiri) menyempurnakan program Larian Amal dan Kempen Kesedaran Derma Organ 2025 di Taman Tasik Permai, hari ini. Turut kelihatan (dari dua kiri) Dr Yet, Dr Terence dan Dr Nanthakumar (dua kanan).

SIBU: Pendermaan organ di Sarawak masih rendah berikutan salah tanggapan budaya, cabaran logistik dan kekurangan kesedaran masyarakat.

Ketua Unit Perolehan Organ Hospital Umum Sarawak (HUS) Dr Lydia Yet berkata, semua sumbangan organ melalui proses saringan yang ketat dan berdasarkan keserasian perubatan.

“Ramai orang menyangka kita hanya mengambil organ daripada seseorang dan memberikannya kepada orang lain.

“Di Malaysia, perolehan organ hanya dilakukan ke atas penderma yang telah disahkan mati otak.

“Anda tidak boleh datang ke hospital dan berkata, 'Saya mahu menderma organ saya kepada orang tertentu untuk wang,' itu tidak dibenarkan,” ujarnya.

Dr Yet berkata demikian pada program Larian Amal dan Kempen Kesedaran Derma Organ 2025 anjuran Jabatan Anestesiologi, Hospital Sibu (Pasukan TOP) di Taman Tasik Permai, hari ini.

Beliau menggalakkan orang ramai yang ingin berikrar sebagai penderma organ agar berbuat demikian melalui aplikasi MySejahtera.

“Tetapi paling penting, sila maklumkan kepada ahli keluarga anda tentang keputusan anda.

“Apabila seseorang meninggal dunia dan orang tersayang tidak menyedari kehendak mereka, ia menimbulkan kekeliruan dan rasa bersalah yang sering membawa kepada penolakan,” ujarnya.

Selain itu katanya, kesukaran logistik turut menjadi cabaran di mana organ yang diambil di Sarawak mesti dibawa ke Semenanjung Malaysia untuk pemindahan.

“Buat masa ini, pemindahan buah pinggang dan hati dilakukan di Hospital Selayang dan Hospital Kuala Lumpur.

“Pemindahan jantung dan paru-paru, yang memerlukan pemindahan lebih cepat, tidak dapat dijalankan dari Sarawak kerana kekangan masa.

“Buat masa ini, kami hanya mampu untuk memudahkan pendermaan buah pinggang dan hati.

“Ujian keserasian juga mesti dijalankan di makmal di Semenanjung Malaysia dan ini menambahkan kerumitan,”jelasnya.

Dr Yet turut mengiktiraf sokongan syarikat penerbangan komersial dalam membolehkan proses membawa organ.  

“Sebelum ini, kami menghadapi kesukaran untuk membawa organ dalam penerbangan kerana protokol keselamatan.

“Tetapi selepas perbincangan dengan AirAsia, Malaysia Airlines dan Lapangan Terbang Kuching, isu ini sebahagian besarnya telah diselesaikan,” katanya.

Dr Yet juga melahirkan kebimbangan terhadap kepercayaan tradisional, di mana sesetengah keluarga berpendapat penderma yang menderma mata, roh mereka (penderma) tidak akan dapat melihat di akhirat.

“Kita perlu mengubah pemikiran ini, apabila kita mati, badan kita kembali kepada bumi. Organ kita boleh memberi peluang kepada orang lain untuk hidup,” ujarnya.

Dr Yet memberitahu, Sarawak telah menyaksikan kes pendermaan organ sejak sedekad lalu.  

“Sebelum kes pendermaan terbaharu berlaku di Miri baru-baru ini, pendermaan organ terakhir yang berjaya di Sarawak adalah pada 2015.

“Pada 2022, terdapat satu kes di Sibu, dan tahun lepas kami mempunyai dua kes di Hospital Umum Sarawak,” jelasnya.

Program tersebut disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek Joseph Chieng Jin Ek.

Turut hadir ialah Pengarah Hospital Sibu Dr Nanthakumar Thirunavukarasu serta Ketua Jabatan Anestesiologi dan Rawatan Rapi Hospital Sibu Dr Terence Siew Kung Yung.


Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

24-5-2025 10:43 AM GMT+8 , Processed in 0.040067 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list